Oleh: Maizatul Madihah Muhammad, Nur Dina Iman Assaari dan Dr. Wan Maslukma Wan Zaharudin
KAMPUNG PERLOK, SUNGKAI, 2 November 2026 – Seramai sepuluh (10) orang mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) daripada Institut Penyelidikan dan Pendidikan Tahfiz & Turath Islami (i-FURQAN) melalui Persatuan Pendidikan Islam dengan bimbingan Dr. Wan Maslukma binti Wan Zaharudin telah menyertai Program SULAM @ UPSI Day’s Out Community yang berlangsung di Kampung Perlok, Sungkai, Perak pada 2 November 2026.
Program yang berlangsung dari jam 8:00 pagi hingga 6:00 petang ini merupakan anjuran Pusat Pembangunan Akademik UPSI dengan penglibatan komuniti setempat yang dianggarkan seramai 500 orang serta penyertaan 60 orang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Perlok. Program ini turut dimeriahkan dengan beberapa orang finalis Global Educator Award (GEA) yang terdiri dari negara India, China dan Iran. Program ini bertujuan mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di universiti melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman, di samping menyumbang kepada peningkatan kefahaman masyarakat terhadap ilmu Pendidikan Islam.
Antara pengisian yang diketengahkan oleh wakil Persatuan Pendidikan Islam ialah pelaksanaan Ekspo Halalan Tayyiban yang merangkumi tiga modul Pendidikan Islam yang memfokuskan kepada hukum sembelihan, hukum pemakanan serangga dan konsep syubhah. Ketiga-tiga modul tersebut dirangka bagi memberikan pendedahan kepada murid tentang kefahaman asas hukum Islam yang berkait rapat dengan kehidupan seharian.
Pelaksanaan setiap modul turut menggunakan pendekatan pembelajaran secara interaktif melalui aktiviti hands-on, permainan pendidikan dan sesi refleksi. Pendekatan ini memberi peluang kepada murid untuk memahami sesuatu topik bukan sahaja melalui penerangan, malah melalui pengalaman dan penglibatan secara langsung dalam aktiviti yang disediakan.
Bagi modul sembelihan, murid telah didedahkan dengan konsep, syarat dan kaedah penyembelihan yang menepati hukum syarak. Fasilitator telah menerangkan tentang rukun sembelihan, kepentingan menggunakan alat sembelihan yang tajam serta keperluan menyebut nama Allah ketika menyembelih. Selepas sesi penerangan, murid akan melaksanakan aktiviti hands-on dengan menyusun langkah-langkah sembelihan yang betul mengikut urutan yang telah dipelajari. Melalui aktiviti ini, murid dapat memahami bahawa penyembelihan yang sah bukan sekadar perbuatan memotong, tetapi merupakan satu amanah untuk memastikan makanan yang dimakan adalah halal dan tayyib.



Seterusnya, bagi modul halal dan haram serangga, murid telah dibimbing untuk mengenal pasti serta membezakan serangga yang halal dan haram dimakan berdasarkan perspektif Islam. Fasilitator telah menerangkan bahawa belalang adalah serangga yang halal dimakan berdasarkan hadis, manakala semut adalah haram kerana dilarang membunuhnya. Murid kemudiannya terlibat dalam aktiviti pengasingan kad gambar serangga ke dalam kotak halal dan haram. Aktiviti ini telah membantu murid memahami bahawa penentuan hukum halal dan haram adalah berdasarkan dalil syarak, bukannya berdasarkan tanggapan atau citarasa semata-mata.
Manakala bagi modul pemakanan syubhah, murid telah didedahkan dengan makanan yang mempunyai unsur syubhah dan cara untuk mengenal pastinya. Fasilitator telah memberi contoh makanan seharian yang sering menjadi pilihan murid seperti air boba, sosej dan makanan ringan yang diragui status halalnya kerana tidak mempunyai sijil halal, mengandungi gelatin yang tidak jelas sumbernya atau perisa yang mengandungi alkohol. Murid kemudiannya melaksanakan aktiviti detektif halal dengan memeriksa label pembungkusan, mencari logo halal JAKIM dan membuat keputusan sama ada makanan tersebut halal, haram atau syubhah. Melalui aktiviti ini, murid belajar untuk menjadi lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan makanan viral tanpa menyemak status halalnya terlebih dahulu.
Selain itu, penggunaan permainan pendidikan dalam setiap modul bertujuan mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan, menarik minat murid serta membantu mereka mengukuhkan pemahaman terhadap isi pembelajaran. Sesi refleksi turut dilaksanakan bagi menilai kefahaman murid terhadap ilmu yang telah disampaikan.
Program ini turut mendapat penglibatan dan sokongan pelbagai pihak termasuk pemimpin masyarakat, wakil agensi kerajaan, tetamu kehormat serta delegasi jemputan. Antara tetamu yang hadir ialah Penghulu dan wakil Pejabat Penghulu Sungkai, wakil Balai Polis Sungkai, pemimpin ketua-ketua kampung sekitar Mukim Sungkai, wakil pengurusan UPSI, delegasi Aceh serta wakil SULAM Kementerian Pendidikan Tinggi. Kehadiran pelbagai pihak ini memperlihatkan sokongan dan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dengan komuniti setempat dalam menjayakan inisiatif pembangunan masyarakat.
Penglibatan mahasiswa dalam program ini bukan sahaja menjadi ruang untuk mengaplikasikan pengetahuan akademik, malah turut memberikan pengalaman dalam aspek komunikasi, pengurusan aktiviti dan interaksi bersama masyarakat. Pengalaman turun ke lapangan ini secara tidak langsung membentuk keyakinan mahasiswa untuk menyampaikan ilmu dengan pendekatan yang bersesuaian mengikut tahap penerimaan sasaran.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan Ekspo Halalan Toyyiban ini telah mencapai ketiga-tiga objektif yang telah ditetapkan. Melalui sesi refleksi dan aktiviti hands-on, didapati murid-murid SK Perlok menunjukkan peningkatan kefahaman yang jelas. Mereka bukan sahaja dapat membezakan serangga yang halal dan haram, malah dapat menjelaskan syarat sembelihan yang sah dan mengenal pasti makanan syubhah dengan lebih yakin.
Selain daripada pencapaian objektif tersebut, program ini juga telah berjaya mengubah persepsi murid bahawa hukum halal dan haram bukan ditentukan oleh rasa geli atau sedap, tetapi ditentukan oleh dalil dan syariat Islam. Murid kini lebih sedar bahawa menjadi seorang Muslim yang baik bukan sahaja menjaga solat dan akhlak, tetapi juga menjaga apa yang masuk ke dalam perutnya.
Bagi mahasiswa pula, program ini menjadi medan tarbiah yang sebenar. Ilmu yang selama ini hanya dipelajari di dalam bilik kuliah akhirnya dapat diterjemahkan menjadi manfaat kepada masyarakat. Pengalaman berhadapan dengan murid-murid yang pelbagai karenah, menjawab soalan spontan mereka dan melihat wajah gembira mereka apabila berjaya menjawab kuiz, menjadi kenangan yang tidak dapat dibeli dengan wang ringgit.
Justeru, diharapkan agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang, bukan sahaja di Kg. Perlok, malah diperluaskan ke kampung-kampung lain. Hal ini demikian kerana usaha menyemai kesedaran Halalan Toyyiban sejak kecil adalah pelaburan yang paling berharga untuk melahirkan generasi Muslim yang berilmu, bertakwa dan berakhlak mulia, serta menjadi agen penyebaran ilmu yang memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara.
