Oleh Siti Hartini Azmi

TANJONG MALIM – Bekas atlet olahraga Olimpik Maldives, Naseer Ismail, melangkah ke dunia akademik apabila mendaftar sebagai pelajar melalui laluan APEL.Q di Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSKJ), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Naseer pernah mewakili Maldives pada Sukan Olimpik Atlanta 1996 dalam acara 800 meter dan 4 × 400 meter, serta Sukan Olimpik Sydney 2000 dalam acara 800 meter. Beliau mencatatkan masa terbaik 800 meter, iaitu 1 minit 53.08 saat, di Kathmandu pada 27 September 1999.

Beliau turut menubuhkan Naseer Sports Academy pada Januari 2016 bagi membangunkan atlet dan menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

Menurut Naseer, pemilihan UPSI didorong oleh program sains sukan yang tersusun, kemudahan yang cemerlang serta tenaga pensyarah yang profesional.

“Persekitaran UPSI yang banyak menyokong pembangunan atlet bertaraf antarabangsa. Sebagai atlet Olimpik dan jurulatih, saya mahu memperkukuh pengetahuan saintifik serta mengaplikasikannya untuk membantu membangunkan atlet di Maldives dan Malaysia,” katanya.

Beliau menyifatkan APEL.Q sebagai peluang bernilai untuk golongan profesional berpengalaman memperoleh pengiktirafan akademik terhadap pengetahuan dan kemahiran yang dibangunkan sepanjang kerjaya.

“Bagi saya, laluan ini merupakan peluang untuk mengembangkan pengalaman sebagai atlet dan jurulatih, mendalami ilmu Sains Sukan serta meneruskan perkembangan profesional,” ujarnya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Prof. Madya Dr. Jaffry Zakaria, menyambut baik penyertaan tokoh sukan antarabangsa itu dalam komuniti akademik UPSI.

“Pengalaman luas beliau sebagai atlet Olimpik dan jurulatih merupakan aset yang bernilai dalam proses pembelajaran. Laluan APEL.Q memberi ruang kepada pengamal sukan berpengalaman untuk mengembangkan potensi akademik melalui penilaian pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu,” katanya.

Beliau turut berharap langkah Naseer menjadi inspirasi kepada atlet dan jurulatih lain untuk meneruskan pengajian serta memperkukuh sumbangan kepada pembangunan sukan.