Oleh: Dr. Nasrul Hakim Salleh

KAMPUNG KETOYONG, 16 November – Sukarelawan Fakulti Sains Kemanusiaan (V-FSK4U), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus komited menjayakan program kesukarelawanan bersama-sama komuniti menerusi penglibatan dalam Program Gotong-Royong Perdana Cegah Wabak Denggi 2026 di Kampung Ketoyong yang dilaksanakan pada 15 November 2026.

Seramai 40 orang pelajar dari Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK) yang diketuai oleh Dr. Nasrul Hakim Salleh turun padang dengan penuh semangat. Program ini turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi, iaitu Pejabat Kesihatan Daerah Muallim, Pejabat Daerah dan Tanah Muallim, Majlis Daerah Tanjong Malim, Balai Polis Tanjong Malim, Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Malim, s(COMBI), serta penduduk Kampung Ketoyong.

Program bermula pada pukul 8.15 pagi dengan sesi taklimat program dan kesihatan yang disampaikan oleh wakil Pejabat Kesihatan. Para peserta kemudiannya dibahagikan kepada enam kumpulan dan bergerak ke kawasan yang telah ditetapkan.

Fokus utama program ini adalah untuk membersihkan kawasan yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Setiap kumpulan dibekali sarung tangan getah dan plastik sampah bagi melancarkan urusan pembersihan.

Selain itu, pelajar FSK turut membantu membersihkan Tabika KEMAS Kampung Ketoyong yang dinaiki air akibat banjir yang melanda sehari sebelum program gotong-royong ini diadakan. Aktiviti gotong-royong selesai pada pukul 12.15 tengah hari. Penduduk Kampung Ketoyong amat gembira dan berterima kasih atas penglibatan V-FSK4U dalam program tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) merangkap Ketua Kampung Ketoyong, Haji Baharul Kalam bin Haji Zainun dalam ucapan penutup program menzahirkan penghargaan yang tidak terhingga kepada para pelajar FSK yang terlibat.

“Kami amat berbesar hati dan berterima kasih kepada para pelajar Fakulti Sains Kemanusiaan yang sanggup turun padang bersama-sama penduduk kampung untuk membersihkan kawasan sekitar bagi menghapuskan ancaman nyamuk Aedes dan wabak denggi,” katanya.

Beliau turut berharap agar jalinan kerjasama antara V-FSK4U dengan komuniti Kampung Ketoyong akan terus berkekalan pada masa hadapan.