Hamzah hudzaifi, Fakultas Hukum, Universitas Negeri Semarang

Dr. Nurzaimah binti Asalal, Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI

KUALA LUMPUR, 9 NOVEMBER 2026 – Mahasiswa Universitas Negeri Semarang (UNNES) menerusi program GIAT Internasional 7 dari program undang-undang di Fakultas Hukum, UNNES telah menjalin kerjasama dengan pasukan V-FSK4U (Volunteers Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris) dalam melaksanakan program khidmat komuniti dan kempen kesedaran berkaitan penipuan tawaran pekerjaan (job scam) bersama komuniti gelandangan di bawah bimbingan Ar-Riqab. Program tersebut berlangsung di sekitar kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Program ini merupakan sebahagian daripada aktiviti khidmat masyarakat sempena pelaksanaan KKN Antarabangsa UNNES–UPSI yang bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama antara kedua-dua institusi pendidikan tinggi, di samping menyemai nilai keprihatinan, kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa.

Pelaksanaan program dimulakan dengan aktiviti bakti sosial sebagai tanda keprihatinan terhadap komuniti gelandangan, diikuti sesi perkongsian dan kesedaran mengenai penipuan tawaran pekerjaan (job scam). Melalui sesi tersebut, komuniti diberikan pendedahan tentang ciri-ciri tawaran pekerjaan palsu, modus operandi pihak yang tidak bertanggungjawab serta langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Perkongsian turut memberi penekanan terhadap kepentingan menyemak kesahihan sesuatu tawaran pekerjaan sebelum menyerahkan maklumat peribadi, membuat sebarang pembayaran atau menerima tawaran kerja yang mencurigakan. Penyampaian maklumat dilaksanakan secara interaktif menggunakan bahasa yang mudah difahami agar pengetahuan yang disampaikan dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.

Puan Nor Akmar binti Ali, Pengerusi Ar-Riqab, menyambut baik inisiatif kerjasama antara UPSI dan UNNES yang bukan sahaja membawa sumbangan berbentuk kebajikan, malah turut memberikan pendedahan ilmu dan maklumat yang bermanfaat kepada komuniti gelandangan.

Menurut beliau, usaha mendekati golongan rentan melalui pendekatan kebajikan dan pendidikan amat penting bagi memastikan mereka tidak terpinggir daripada arus pembangunan masyarakat. Beliau turut berharap agar kerjasama seumpama ini dapat diteruskan bagi memperluas manfaat kepada komuniti yang memerlukan perhatian dan sokongan.

Sementara itu, Dr. Nurzaimah Asalal, pensyarah pengiring dari Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI, menyatakan bahawa penglibatan mahasiswa dalam program khidmat masyarakat seperti ini merupakan satu platform pembelajaran di luar bilik kuliah yang amat bermakna.

Menurut beliau, pengalaman berinteraksi secara langsung dengan komuniti gelandangan dapat meningkatkan kepekaan sosial, empati serta kefahaman mahasiswa terhadap realiti dan cabaran kehidupan yang dihadapi oleh golongan rentan. Selain itu, kerjasama rentas negara ini turut memberi peluang kepada mahasiswa UPSI dan UNNES untuk berkongsi pengalaman, memperkukuh kemahiran komunikasi serta menghayati nilai kesukarelawanan dalam konteks masyarakat yang lebih luas.

Penglibatan mahasiswa UNNES turut memberikan pengalaman yang bermakna kepada peserta program. Mahesya Nanda Sunandar, mahasiswa Universitas Negeri Semarang (UNNES), menyifatkan penyertaan dalam program ini sebagai satu pengalaman yang membuka perspektif baharu tentang kepentingan keprihatinan dan tanggungjawab terhadap masyarakat.

Menurut beliau, peluang berinteraksi secara langsung dengan komuniti gelandangan memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang cabaran kehidupan yang dihadapi oleh golongan tersebut. Pengalaman ini juga menyedarkan mahasiswa tentang kepentingan berkongsi ilmu, memberikan sokongan dan memainkan peranan dalam membantu masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Secara keseluruhannya, program ini bukan sekadar menyampaikan bantuan kebajikan dan maklumat berkaitan pencegahan penipuan pekerjaan, malah menjadi medium untuk membina hubungan sosial, memupuk nilai kemanusiaan serta meningkatkan kesedaran mahasiswa terhadap isu-isu masyarakat. Kolaborasi antara UNNES GIAT Internasional 7 dan V-FSK4U UPSI ini membuktikan bahawa perbezaan latar belakang institusi dan negara bukanlah penghalang untuk bersama-sama menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.

Diharapkan agar inisiatif seumpama ini dapat diteruskan sebagai usaha memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa antara Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universitas Negeri Semarang, khususnya dalam bidang kesukarelawanan, kebajikan dan pembangunan komuniti yang inklusif serta mampan.