UPSI, 8 Jun 2016 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), buat kali keempat mengadakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Staf 2015 (AKS) yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri, Kementerian Sains, Teknologi & Inovasi (MOSTI), Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah bertempat Auditorium Utama. Anugerah diberikan kepada staf UPSI yang cemerlang dalam bidang masing-masing pada tahun 2015.
Datuk Dr. Abu Bakar berkata, universiti merupakan lubuk ilmu, melahirkan cendekiawan dalam pelbagai bidang, menghasilkan pelbagai inovasi demi kesejahteraan rakyat, seharusnya semua pihak bekerjasama untuk menyemarakkan pembudayaan inovasi untuk kemajuan negara.
Tambah beliau, produk yang dicipta berdasarkan penyelidikan dan kepakaran pensyarah sewajarnya diterima masyarakat dan dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Penerimaan masyarakat terhadap produk oleh tenaga pakar negara ini mencerminkan keyakinan dan kepercayaan terhadap kepakaran dan kualiti produk tempatan.”
“Justeru, masyarakat perlu menyokong usaha yang dijalankan oleh penyelidik sebagai usaha pengkomersialan dan inovasi yang boleh digunakan mengikut bidang keusahawanan masyarakat atau industri, “ katanya.
Ujar beliau, kurangnya sokongan masyarakat dan tidak berminat terhadap kepakaran dalam negara menimbulkan kegusaran kerana produk pengkomersialan itu bukan untuk dibeli oleh kementerian sahaja, malahan masyarakat perlu menerima pakai produk yang dicipta itu.
“Walaupun kerajaan membeli pelbagai produk inovasi kira-kira RM30 juta dan diberikan kepada yang memerlukan, namun kita mengharapkan penerimaan masyarakat dengan membeli pelbagai hasil ciptaan berkenaan,” katanya.
Beliau turut menyarankan agar penyelidik di negara ini memberi fokus terhadap kepakaran masing-masing dan kurang menimbulkan rasa ketidakpuasan hati terutamanya dalam hal remeh-temeh jika hendak mengubah masyarakat dan menyeru generasi muda terpelajar belajar bersungguh-sungguh dan kreatif untuk membina masa depan dan membayar cukai apabila bekerja supaya manfaatnya dapat dipulangkan kepada mereka kembali.
Sementara itu Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Zakaria Kasa dalam ucapannya berkata penganjuran majlis itu adalah sebagai persediaan universiti untuk memilih calon yang akan menyertai Anugerah Akademik Negara anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Penganjuran majlis yang dimulakan pada tahun 2013 ini, kini menampakkan hasil yang positif di mana pada tahun lepas, dua staf UPSI telah menerima Anugerah Akademik Negara dalam dua kategori iaitu Kategori Pengajaran dan Kategori Seni dan kreatif,” katanya.
Tambah beliau, pada AKS kali ini, 13 anugerah dipertandingkan, 10 anugerah untuk staf akademik, dan tiga anugerah lagi, untuk staf pentadbiran yang dipilih berdasarkan kepada kriteria kecemerlangan perkhidmatan yang ditunjukkan. 13 anugerah itu ialah Anugerah Pengajaran (Sains Gunaan), (Sasteran Gunaan dan Sosial Gunaan), Anugerah Ahli Akademik Harapan, Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal, Anugerah Seni dan Kreativiti (Seni Kraf), Anugerah Seni dan Kreativiti (Penulisan Kreatif), Anugerah Perundingan, Anugerah Tokoh Pentadbir, Anugerah Pentadbir Harapan, dan Anugerah Tokoh Pelaksana.
Beliau juga menyeru staf UPSI agar sentiasa mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran bagi menjamin kelangsungan kualiti perkhidmatan berada pada tahap yang terbaik.
“Kita perlu bersedia melengkapkan diri dengan pelbagai pengetahuan terutamanya berkaitan kemahiran dan penguasaan teknologi yang mampu untuk menghasilkan inovasi dalam setiap bidang perkhidmatan yang disampaikan. Dalam dunia persaingan yang kian hebat, faktor penyampaian maklumat yang berkesan melalui kecanggihan teknologi adalah penentu kepada penyampaian perkhidmatan yang baik,” katanya.
Sementara itu penghargaan turut diberikan kepada Malaysia Music Journal, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, yang diterbitkan oleh Penerbit UPSI, kerana menjadi jurnal UPSI yang pertama disenaraikan dalam SCOPUS.
Turut diadakan Penyampaian Insentif Penerbitan Artikel Jurnal dan Insentif Pingat Emas Ekspo, Pameran Penyelidikan dan Inovasi.
Senarai Penuh Penerima Anugerah
Anugerah Pengajaran (Sains Gunaan) Dr. Che Zalina Zulkifli,
Anugerah Pengajaran (Sasteran Gunaan Dan Sosial Gunaan) Dr. Maria Salih
Anugerah Ahli Akademik Harapan, Prof. Madya Dr. Tan Wee Hoe,
Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal, Prof. Madya Dr. Suriani Abu Bakar,
Anugerah Seni Dan Kreativiti (Seni Kraf), Prof. Madya Dr. Tajul Shuhaizam Said
Anugerah Seni Dan Kreativiti (Penulisan Kreatif), Prof. Madya Dr. Ani Haji Omar
Anugerah Perundingan, Kursus Amali Sains Pembantu Makmal KPM tahun 2015, Bahagian Sumber Manusia dan Fakulti Sains dan Matematik, Helmi Zaifura Abdul Rahman (Ketua)
Anugerah Tokoh Pentadbir, Ahmad Janatul Firdaus Dzulkarnain
Anugerah Pentadbir Harapan, Khairul Asyrani Sulaiman
Anugerah Tokoh Pelaksana, Mohd Raizol Ramli
Oleh: Sajarutul Nor Kasim
Jurufoto: Nurul Hasniza Mohd Rashid