HAS_0100

UPSI, 18 Feb. 2016 – UPSI kini kian mendapat tempat dalam kalangan  pelajar antarabangsa dengan kemasukan 25 mahasiswa baharu ambilan Februari 2016 berbanding ambilan yang sama tahun 2015 iaitu seramai 10  dan lapan pelajar pada ambilan September.

Pengarah Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Intan Safinas Mohd Ariff Albakri, berkata kemasukan pelajar kali ini adalah antara kemasukan yang paling ramai iaitu 25 pelajar merangkumi 18 pelajar Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan selebihnya adalah daripada Program Pertukaran Pelajar (ISEP).

Walau bagaimanapun, pada hari orientasi yang berlangsung pada 18 Februari 2016 bertempat di Bilik Mesyuarat Utama Bahagian Hal Ehwal Antarabangsa itu, hanya 19 pelajar sahaja yang baru tiba iaitu dari negara China (10), Amerika Syarikat (tujuh)  dan Thailand (dua).

Sementara itu, semasa sesi Local customs in Malaysia & A brief history about SITC  – UPSI yang disampaikan oleh Dr. Hasimah Ja’afar, Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, pelajar sangat teruja untuk mempelajari kepelbagaian budaya dan bahasa sehingga ada dalam kalangan pelajar ini mempelajari perkataan dan sebutan Bahasa Melayu dengan melayari talian internet sebelum datang ke Malaysia.

Selain, memperkenalkan UPSI dan budaya masyarakat setempat, para pelajar diberikan ujian untuk mengasah kebolehan bertutur dalam bahasa Melayu dan menari tarian Joget Melayu bersama para pelajar FBK.

Artikel ini diterbitkan pada 19 Februari 2016.

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Tinggalkan Balasan