HAS_3186

UPSI, 9 Mac 2016 -Kumpulan Seven Notes terdiri daripada tujuh anak muda dari Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, UPSI dinobatkan Johan Battle Of The Band (Terbuka & IPT) : Mashup Battle yang diadakan pada 5 Mac 2016 di Auditorium Utama sekaligus membawa pulang hadiah kemenangan iaitu wang tunai Rm 2,000.00, sijil penyertaan dan juga hamper. Tempat kedua dan ketiga dimenangi oleh kumpulan yang datang dari Kuala Lumpur iaitu SkyMC dan M16. Masing-masing membawa pulang hadiah berupa RM 1,500.00 dan RM 1,000.00 berserta sijil penyertaan dan hamper.

Manakala lima lagi anugerah terbaik iaitu Anugerah Vokalis Terbaik dimenangi oleh Mohamad Suhaimi Rapaad (SkyMC), Anugerah Kibodis Terbaik oleh  Adam Aqmal Azmi (SkyMC), Anugerah Gitaris Terbaik oleh Zulhelmey Ajis (Oxygen), Anugerah Pemain Bass Terbaik oleh Faizal Hamzah (Oxygen)  dan Anugerah Pemain Drum Terbaik oleh Mohd Hafidz Hussain  (Cropox).

Program anjuran Pusat Kebudayaan yang diadakan buat pertama kalinya mengetengahkan konsep Mashup Battle bertujuan memberi peluang dan ruang kepada bakat-bakat muda mempamerkan kebolehan menggarap idea-idea yang segar dalam berkarya dan menjadikan budaya kreatif dalam persaingan sebagai salah satu alternatif dalam membentuk gaya hidup yang sihat dan positif.

HAS_2892 HAS_2525

Menurut Pengarah Pusat Kebudayaan, En. Nurfaizal Fariz bin Sahdan, “Mashup” merupakan salah satu cabang baru dalam industri muzik Malaysia. Ia melibatkan proses transformasi muzik (penggabungan dan penyulaman vokal dan instrumentasi) secara berterusan daripada dua lagu atau lebih menjadi sebuah lagu. Fenomena ini merupakan fenomena baru di Malaysia dan semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat kerana ia merupakan garapan idea baru dan segar dalam proses susunan semula muzik.

“Mashup ialah Penggabungan dan Penyulaman Vokal Lagu A dan Lagu B secara serentak menjadi sebuah lagu dan menggunakan “groove” (tempo,rentak) yang sama dan penyulaman ‘RIFF’ (boleh berlaku mengikut kreativiti pemuzik) iaitu frasa gitar yang pendek, panjangnya hampir selalu satu, dua, atau empat bar, yang berulang pada berbagai posisi dalam sebuah komposisi. Riff boleh di ’transpose’ (dipindahkan ke posisi fingerboard yang lain ketika kord-kord berubah) atau boleh dimodifikasi sedikit atas perubahan kord,” katanya.

“Manakala komposisi lagu yang dipertandingkan adalah berdasarkan kreativiti kumpulan, dua lagu mesti di ’mashup’ kan untuk peringkat saringan manakala tiga lagu di ‘mashup’ kan pada peringkat akhir dimana masa yang diperuntukkan tidak melebihi lapan minit”

Turut bertanding Rejected, 90 Pokok, Cropox, Cendol, Enigma Band, Oxygen, The Diarys, Portzero, Mayang Sari dan FaSoLa.

Artikel ini diterbitkan pada 09 Mac 2016.

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Tinggalkan Balasan

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)