UPSI, 6 APRIL 2016 – Dalam usaha untuk menyemarakkan lagi budaya pembelajaran sepanjang hayat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan High Point Education Group Sdn. Bhd. memeterai Memorandum Perjanjian (MoA), dalam satu majlis yang diadakan pada 31 Mac 2016. Usaha ini adalah selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2015-2025) dalam lonjakan yang ke-3 iaitu Menghayati Pembelajaran Sepanjang Hayat.
Dalam majlis tersebut, Naib Canselor UPSI iaitu Prof. Dato’ Dr. Zakaria Kasa berkata, “projek “smart-partnership” antara UPSI dengan High Point Education Group Sdn. Bhd. ini adalah berkonsepkan pembelajaran sepanjang hayat dan bersifat “win-win situation” di mana proses pengajaran dan pembelajaran akan berlangsung di Pusat Pembelajaran Kuala Lumpur Queens College manakala pengisian program dan tenaga pengajar adalah daripada UPSI”.
Beliau juga berharap dengan MoA yang termeterai antara kedua-dua pihak tersebut, masyarakat luar sama ada yang telah berkerjaya atau yang belum berkerjaya akan memilih UPSI sebagai laluan mereka untuk meneruskan pengajian, khususnya bertempat di Pusat Pembelajaran Luar Kuala Lumpur ini. Menurut Pengarah Urusan High Point Sdn. Bhd. High Point Education Group Sdn. Bhd. Tuan Haji Hanafiah Mohd Yunus perjanjian ini merupakan salah satu kerjasama strategik dalam usaha untuk meningkatkan mutu pendidikan negara. Di akhir ucapannya, beliau berharap UPSI dan High Point Education Sdn. Bhd. dapat bekerjasama dalam menjayakan aktiviti-aktiviti untuk keuntungan kedua-dua pihak.
Artikel ini diterbitkan pada 01 April 2016.