UPSI, 1 September-Seramai 2,062 pelajar baharu terdiri daripada calon lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan diploma, kini secara rasminya menjadi Anak Kandung Suluh Budiman dalam satu Majlis Ikrar Pelajar Ambilan September 2016 yang berlangsung di Dewan Besar, Kampus Sultan Azlan Shah.
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) selaku wakil Naib Canselor berkata, setakat hari ini seramai 2062 orang pelajar baharu telah mendaftar.
“Dengan kemasukan tersebut, menjadikan jumlah terkini pelajar UPSI telah mencapai 22,161 orang pelajar di semua peringkat pengajian,” katanya.
Tambah beliau, UPSI juga sentiasa komited memastikan para pelajar dilengkapkan dengan kemahiran-kemahiran yang dikehendaki oleh majikan sebelum mereka bergraduat.
“Selaras Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), Aspirasi Pelajar bagi Pendidikan Tinggi termasuklah mereka perlu mempunyai etika dan kerohanian, kemahiran memimpin, identiti nasional, kemahiran bahasa, kemahiran berfikir dan pengetahuan.”
“Pihak universiti juga telah menggubal kurikulum program secara komprehensif dengan memasukkan elemen seperti softskill (Kemahiran Insaniah). Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia mahukan setiap graduan mempunyai ilmu, akhlak, tingkah laku, set minda dan adab untuk menjadi insan mulia. Mereka bakal menjadi warga sejagat dengan jati diri Malaysia yang menyerlah, bersedia dan sanggup untuk berkorban demi keharmonian dan kesejahteraan keluarga, masyarakat, negara dan sejagat,” ujar beliau.
Beliau yakin melalui program-program itu, mahasiswa/i UPSI akan memperoleh kemahiran berkomunikasi, kemahiran kritis dan menyelesaikan masalah, kemahiran kepimpinan, kemahiran keusahawanan dan kesukarelawanan yang mampu menjadi pekerja terbaik di pasaran kerja nanti.
“Kami percaya dengan kemahiran yang diberikan ini, akan menjadikan mahasiswa/i UPSI sebagai pilihan majikan dalam pasaran kerja dan pelbagai profesion yang bakal diceburi.”
“UPSI juga menggerakkan dan memperkasakan aspek kebolehpasaran graduan dengan mensasarkan KPI 95% pelajar mendapat pekerjaan selepas tamat belajar (sebagai rekod tahun lepas pencapaian UPSI 90%). Beberapa program berstruktur telah dirangka oleh Pusat Kebolehpasaran Graduan bagi memenuhi KPI ini,” katanya.