UPSI, 5 Oktober – Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, menerima kunjungan seramai 80 pensyarah dan pelajar daripada Fakultas Keguruan Ilmu Pendidikan (FKIP), Universitas Sriwijaya, Palembang Indonesia.
Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Madya Dr. Dahlia Janan ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya berharap pertemuan itu dapat meningkatkan lagi hubungan silaturrahim kedua-dua pihak.
Beliau berkata, kunjungan itu dapat mempertingkatkan lagi hubungan untuk merancang pelbagai program khususnya dalam aspek pendidikan, artikal jurnal serta kerjasama antara pensyarah.
“Pertemuan itu, memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar-tukar pandangan dan pengalaman dalam akademik sesama pensyarah dan pelajar ini kerana kedua-dua universiti ini mempunyai pensyarah yang memiliki kekuatan tersendiri”, katanya.
UNSRI sebelum ini menandatangan memorandum persefahaman dan ia menjadi kesinambungan untuk merancang program kerjasama dalam pendidikan, pertukaran pelajar, penerbitan jurnal serta penyelidikan.
Dalam majlis yang berlangsung di Dewan Seri Tanjung itu juga, pelajar UNSRI mengadakan persembahan tarian “Tari Tanggai” dan menyanyikan lagu patriotik Indonesia berjudul “Tanah Airku” manakala wakil UPSI, Dr. Ariff Mohamad menyampaikan sajak berjudul “Mati Persahabatan” dan Profesor Madya Dr. Abdul Halim Ali dengan puisinya berjudul “Kita Serumpun dan Selenggara” dan “Kembali ke Akar Leluhur”.
Delegasi dari UNSRI kemudiannya dibawa melawat Muzium Pendidikan Nasional, Perpustakaan Tunku Bainun, Kampus Sultan Azlan Shah, serta Masjid Al-Mursyidin.
Hadir bersamanya Dr. Kasmansyah dari Unit Bahasa dan Kesusasteraan Universitas Sriwijaya; Ketua Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Dr. Zulkifli Osman; penyelaras program Kesusasteraan Melayu, Dr Norazimah Zakaria.
Sementara itu, wakil UNSRI, Dr. Subadyono berkata tujuan mereka mengunjungi UPSI adalah sebahagian daripada tugasan di lapangan mahasiswa mendapat pengalaman baharu daripada universiti luar negara.
“Kami yakin UPSI adalah pilihan yang tepat kerana ia adalah universiti pendidikan yang terkenal yang mendorong kepada usaha kerjasama yang memberi faedah kepada kedua-dua pihak,” katanya.
Melalui kunjungan juga, katanya, UNSRI dapat menyaksikan kehebatan operasi perpustakaan, sistem kuliah serta pembangunan sahsiah pelajar.
Bagi pelajar semester lima Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu UPSI, Khadijah Mohd Khusairi, 23, pertemuan dengan pelajar UNSRI membolehkan beliau berkongsi pengalaman selain mengeratkan hubungan silaturrahim.
“Mungkin suatu hari nanti kami pula akan berkunjung ke Palembang untuk memahami budaya dan sistem pendidikan UNSRI pula,” katanya.