Tanjong Malim, 1 November – Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Awal Kanak-kanak) akan ditawarkan di dua buah kolej secara francais.
Terbaharu, UPSI menjalinkan kerjasama dengan dua kolej dalam satu Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Program Kerjasama Secara Francais Antara UPSI dengan Regent Collage dan UPSI dengan Kolej Geomatika (Cawangan Keningau) yang diadakan di Dewan Seri Tanjong, UPSI Kampus Sultan Abdul Jalil Shah.
Naib Canselor berkata, melalui MoA itu, UPSI dan Kolej Geomatika akan menjalankan program pengajian akademik secara kerjasama dengan UPSI bagi program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Awal Kanak-Kanak) dengan Kepujian dan Regent Collage bagi program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.
UPSI membenarkan Geomatika dan Regent College mengendalikan program akademik dan memberi nasihat kepakaran kepada kedua-dua pihak dan penyediaan kemudahan pengajian program tersebut.
Melalui perjanjian yang berkuat kuasa selama lima tahun ini akan melibatkan pembangunan profesional seperti pertukaran bahan-bahan penerbitan dan mengadakan aktiviti/program berkaitan yang mendatangkan faedah kepada kedua-dua pihak.
Dari segi pengurusan akademik, kedua-dua pihak akan mengendalikan program tersebut mengikut Peraturan Akademik UPSI, lain-lain peraturan yang berkuat kuasa di UPSI serta mengikut takwim Akademik UPSI.
UPSI diwakili oleh Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Zakaria Kasa, Regent Collage diwakili oleh Pengerusi Eksekutif, Dato’ Dr. Nelson a/l Renganathan, manakala Kolej Geomatika oleh Presiden, Prof. Dr. Sr. Mohaizi Mohamad dan disaksikan oleh Pendaftar, En. Mohd Faizi Othman, Pengarah Eksekutif Regent College Dato’ Nazaruddin Abdul Jalil dan Ketua Eksekutif Kolej Geomatika, Pn. Anne binti Madis @ Dolores.