UPSI, 20 Disember- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerima sumbangan dana berjumlah RM10,000.00 dari Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) bagi memantapkan sistem pendidikan dan latihan teknik vokasional di Malaysia.
Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Zakaria Kasa berkata, dana itu akan digunakan untuk dua projek penyelidikan oleh Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) iaitu A Study On Key Successful Factors for Poverty Eradiction Programme Through Education and Skills Training by Private Sector in Malaysia, dan Kajian Awal Kesedaran Kelompok B40 Dalam Penggunaan Tenaga Solar Dalam Penjanaan Kewangan.
Tambah beliau, kerjasama strategik itu akan menjadi medan utama (Win-Win Situation) dalam penghasilan lebih banyak lagi idea baharu dan YBK sendiri dapat menawarkan lebih banyak program CSR berteraskan TVET, dan seterusnya dapat memberi impak yang besar kepada masyarakat dan negara.
“Sebagai sebuah universiti pendidikan, melalui FPTV, pihak universiti sentiasa melihat ruang dan peluang yang ada untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan lebih banyak pihak bagi berkongsi idea dan kepakaran, dalam meningkatkan lagi mutu penyampaian sistem pendidikan khususnya di UPSI, apatah lagi kesannya nanti akan turut dikembangkan oleh guru-guru lepasan UPSI ke peringkat sekolah di luar sana,” katanya pada Majlis Menandatangani Letter of Intent (LoI) Kolaborasi Pembangunan Program Pendidikan dan Latihan Vokasional di Bilik Mesyuarat 2-7, Bangunan Canselori.
Surat itu ditandatangani oleh Naib Canselor dan Pengerusi YBK, Datuk Hj. Zainal Abidin Sakom dan disaksikan oleh Pendaftar, Encik Faizi Othman serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBK, Dato’ Hj. Bing Selamat Amir.
Sementara itu, menurut Dekan FPTV, Prof. Madya Dr. Syed Abdul Malik Syed Mohamad, bagi kerjasama permulaan, UPSI akan menghantar Dr. Pedram Kashiani, pakar berpengalaman dalam bidang sains pertanian untuk memberi khidmat nasihat kepada penternak projek ladang tenusu di Bengkulu, Indonesia, bagi membantu meningkatkan potensi penternakan, daging dan susu di sana sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup penduduk di sana.
Hadir sama, Timbalan Pengarah IPG Kampus Pendidikan Teknik, Dr. Tajul Arifin Yang Hussain, dan Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Sahandri Gani Hamzah.