UPSI, 30 Nov – Warga UPSI berpeluang berkongsi pengalaman dan menyelami cabaran sebenar bidang industri bersama tokoh wartawan veteran yang juga tokoh korporat Tan Sri Johan Jaaffar menerusi Programme CEO@Faculty anjuran Fakulti Muzik dan Seni Persembahan.
Dalam Syarahan beliau bertajuk Kolaborasi Universiti dan Industri : Kesediaan Mahasiswa vs Keperluan Industri, Tan Sri Johan berkongsi pengalaman sewaktu menjadi aktivis seni dan pemain industri semasa menjadi pengerusi syarikat media terbesar Malaysia, Media Prima sebagai pemudah cara dan panduan kepada para pelajar untuk mencari peluang kerjaya dalam bidang industri.
Menurut beliau, melalui perkongsian pengalaman dan kepakaran daripada pemimpin industri seperti peogram itu dapat memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pelbagai input secara terus daripada pihak industri yang mana ianya berguna dalam dunia kerjaya selain mampu meningkatkan kebolehpasaran dalam kalangan graduan.
“Dalam mendalami dunia industri, pelajar yang ingin menjalani latihan industri tidak hanya menumpukan perhatian kepada syarikat-syarikat yang besar sebaliknya perlu menyertai syarikat produksi yang aktif untuk mendapat pendedahan secara menyeluruh selain dapat menonjolkan kebolehan diri.
Tambah beliau, pelajar perlu mempunyai keyakinan diri dan kesediaan untuk menjadi apa sahaja yang diimpikan dalam hidup.
Mengambil contoh penyanyi Susan Boyle, seorang wanita berusia hampir 50 tahun dari Scotland yang menyertai pertandingan Britains Got Talent pada tahun 2009. Susan pada mulanya dipandang rendah kerana mempunyai rupa paras dan fizikal yang kurang menarik namun sebaliknya menerusi bakat besar, beliau mengejutkan para juri sehingga tercetus fenomena The Susan Boyle Factor.
Johan berkata, pelajar UPSI sangat beruntung kerana berjaya mendapat tempat di universiti ini yang mempunyai pelbagai kelengkapan dan silibus, justeru, pelajar perlu membina kekuatan tersendiri untuk hidup tanpa bergantung dengan pihak lain.
“Universiti memainkan peranan untuk mempersiapkan pelajar dan bakal pelajar. Ilmu adalah sesuatu yang sangat bermakna untuk masa depan kita memerlukan graduan yang sesuai dengan keperluan ataupun aspirasi Negara dan ini tidak semestinya graduan dalam bidang pengkhususan tertentu mereka yang mempunyai kemahiran dalam multitasking tetapi asasnya pada pandangan saya kita perlukan graduan yang kreatif dan inovatif,”.
“ Ini merupakan teras walau dalam disiplin apa jua sekalipun lebih-lebih lagi mereka yang berminat untuk mengikuti dunia creative content,”.
“Industri kita sangat besar sebenarnya, masalah kita sekiranya kita bergantung kepada syarikat-syarikat media yang ada seperti TV3, Astro dan Radio televisyen Malaysia sedangkan kita mempunyai ruang, kita boleh menjual produk kita. Contoh Upin dan Ipin yang dahulunya ditayangkan di TV9 dalam tempoh masa lima minit kini menempa nama di pasaran Indonesia bahkan berjaya diadaptasikan ke dalam bahasa Inggeris, dan bahasa Arab,” ujar beliau.
Johan adalah tokoh wartawan veteran dan tokoh korporat selain dikenal sebagai aktivis seni. Beliau mantan Pengerusi Media Prima Berhad, syarikat media terbesar di Malaysia. Beliau pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Beliau juga kini merupakan Pengerusi Nobel International School.