Gambar: FB Mohd Shukran
IPOH, 24 Mac – Pelajar semester 4, Fakulti Sains Kemanusiaan. Mohamad Shukran Abdul Halim, dinobatkan pemenang Pertandingan Fotografi Awan yang diadakan sempena Hari Meteorologi Sedunia 2017 pada 23 Mac 2017 di Dewan Bandaraya Ipoh, Perak.
Shukran berkata, beliau berasa gembira dan terharu kerana karya beliau ‘Rekahan Atap Bumi’ terpilih untuk mendapat tempat pertama antara 116 orang peserta yang mengambil bahagian.
“Saya juga gembira kerana dapat membuktikan bahwa gambar yang cantik tidak semestinya diambil menggunakan peralatan yang mahal. Saya mengambil gambar ini pada tahun 2013 dengan menggunakan kamera telefon Nokia Asha 306 yang 2.0mp sahaja,” katanya.
Pada tahun ini sambutan Hari Meteorologi Sedunia disambut serentak dengan Karnival Creativity & #Science4u anjuran MOSTi disempurnakan perasmiannya oleh YB Dato’ Dr. Muhammad Amin Zakaria, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Perak di Dewan Bandaran Ipoh, Ipoh, Perak.
Sambutan Hari Meteorologi Sedunia yang bertemakan ‘Understanding Clouds’ atau ‘Fahami Awan’ telah dipilih bagi menunjukkan kepentingan awan terhadap cuaca, iklim dan air.
Gambar ‘Rekahan Atap Bumi’ yang memenangi johan Pertandingan Fotografi Awan.