UPSI, 12 Oktober – Universiti Pendidikan Sultan Idris melalui Fakulti Muzik Seni Persembahan (FMSP) giat memperkasakan Jaringan Industri dan Masyarakat melalui termeterinya dua Memorandum Persefahaman (MoU) iaitu antara UPSI dengan Pak Ngah Production Sdn. Bhd. dan UPSI dengan Damansara Performing Arts Center (DPAC).
Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, UPSI berasa bangga kerana berpeluang menjalinkan bekerjasama dengan dua industri besar yang berbeza kepakaran itu.
“Dalam usaha UPSI untuk terus melonjakkan nama di persada antarabangsa selaras dengan misi dan visi UPSI untuk menjadi Universiti No.1 Pendidikan di Malaysia dan juga di rantau ini; kolaborasi serta penglibatan pihak industri amat penting untuk memastikan para graduan UPSI terus relevan dan mampu memenuhi permintaan pasaran pekerjaan,” katanya dalam majlis yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canselori.
Tambah beliau, kerjasama dengan Pak Ngah Production Sdn. Bhd. memfokus kepada bidang latihan dan praktikal, karya seni, pertukaran dan perkongsian kepakaran serta bengkel kursus jangka pendek khususnya kepada pelajar FMSP.
Manakala dengan DPAC berkisar tentang peluang-peluang praktikal kepada pelajar UPSI, persembahan, bengkel (workshop) akademik forum dan juga outreach project.
Sementara itu, Dekan FMSP Prof. Madya Zaharul Lailiddin Saidon berkata, FMSP dan kedua-dua pihak telah lama menjalinkan hubungan dan pelbagai aktiviti, serta kolaborasi giat dijalankan.
Justeru dengan terjalinnya kerjasama itu akan menyemarakkan aktiviti akademik dan aktiviti tambahan yang mampu memberi nilai tambahan kepada pelajar, fakulti dan UPSI secara amnya.
MoU antara UPSI dan Pak Ngah Production ditandatangani oleh Naib Canselor dan Pengarah Urusan, Datuk Suhaimi Mohd Zain untuk tempoh lima tahun manakala UPSI dan DPAC oleh Naib Canselor dan Presidennya, Datin Jane Liew untuk tempoh 3 tahun.