Tanjong Malim, 8 September – Universiti Pendidikan Sultan Idris memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Celcom Axiata Bhd (Celcom) bagi menjalin kerjasama dalam bidang keusahawanan.
MoU itu ditandatangani Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran dan Ketua Pegawai Korporat Celcom Puan Zuraidah Jamaluddin pada majlis yang berlangsung di Atrium Bitarasiswa.
Professor Datuk Dr. Mohammad Shatar berkata, MoU selama tiga tahun itu membabitkan kerjasama dalam bidang pembangunan aplikasi e-pembelajaran, mewujudkan perusahaan pelajar melalui e- usahawan dan program peniaga jalanan, memasarkan produk pelajar UPSI dalam portal milik Celcom serta meningkatkan perkhidmatan Celcom untuk warga UPSI.
“Menerusi kerjasama ini, ia dapat memupuk sifat tambahan mahasiswa UPSI sebagai seorang usahawan seterusnya dapat membentuk dan membangunkan usahawan dalam kalangan graduan UPSI.
“Bagi memastikan rancangan itu terlaksana dengan jayanya, pemain utama seperti Celcom diperlukan untuk membimbing mahasiswa UPSI,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Sementara itu, puan Zuraidah berkata kerjasama tersebut mampu memupuk minat pelajar menceburi bidang keusahawanan serta memperkasakan pelajar dengan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman yang melengkapi pembelajaran akademik mereka.
“Kerjasama ini adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat Celcom bersama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi bertujuan untuk membangun dan memupuk potensi usahawan dalam kalangan pelajar dengan menyediakan kemahiran yang relevan,” katanya.
Pada majlis itu, Celcom turut menyampaikan zakat kepada UPSI berjumlah RM50,000.