UPSI, 25 Oktober – Seorang anak hari ini menerima Anugerah Anumerta bapanya pada Istiadat Konvokesyen ke-19 Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor.
Ia diterima Anis Fazlin Bong Suadi, 22, daripada Pro Canselor Tan Seri Dato’ Sri Dr Zakri Abdul Hamid pada sidang kelima graduasi.
Anugerah berkenaan dianugerahkan kepada bapanya Bong Suadi Hashim. Arwah yang meninggal dunia pada 31 Mei lalu kerana serangan jantung mengambil Ijazah Sarjana Pendidikan (Psikologi Pendidikan) di Fakulti Pembangunan Manusia.
Anis Fazlin yang merupakan anak tunggal arwah berkata, sebelum ini beliau sering menemani arwah bapanya datang ke UPSI untuk menyiapkan tugasan.
“Malah sebulan sebelum arwah sakit saya juga datang menemani ayah ke UPSI untuk menghantar tesis. Namun kedatangan kali ini berbeza kerana terpaksa mewakili arwah untuk menerima ijazah,” katanya sebak.
Graduan YTL International Collage, Bukit Bintang itu berazam untuk membahagiakan dan menggembirakan ibunya dan ingin mengikut jejak kejayaan arwah ayahnya.
Isteri arwah, Norafiza Abu Bakar, 42, melahirkan rasa sedih namun bersyukur kerana arwah dapat menamatkan pengajiannya dan bangga dengan pencapaian arwah.
Norafiza yang berkongsi perasaan berkata, sebelum ini arwah suami telah mengalami pendarahan di otak tetapi berjaya melakukan pembedahan. Walau bagaimana pun takdir dan perancangan Allah S.W.T tidak dapat dielakkan. Walaupun pembedahan tersebut berjaya namun beliau telah mendapat serangan jantung.