UPSI, 24 Oktober – D.r Yetty Rahelly lebih dikenali sebagai ibu Yetty, dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan Awal Kanak-Kanak pada hari pertama Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris Ke-19 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor, UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah.
Ibu Yetty hadir ditemani oleh suami dan doktor pakar yang merawatnya kerana beliau memerlukan bantuan oksigen, menerima segulung ijazah yang membawa gelaran Doktor daripada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Zara Salim, Canselor UPSI.
Penyelia beliau, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Aminah berkata, Ibu Yetty erupakan seorang pensyarah (Dosen) di Universiti Sri Vijaya Palembang Indonesia, dan beliau mendaftar sebagai pelajar PhD pada tahun 2009.
“Selama 4 tahun Ibu Yetty berulang alik dari Palembang ke UPSI dan pada masa itu dia sudah mengidap penyakit diabetes, tetapi beliau merahsiakan penyakitnya.
“Sehingga tahun 2013, apabila beliau telah selesai mengumpul data penyelidikannya di beberapa lokasi di Malaysia dan Indonesia, pembelajarannya terpaksa terhenti selama setahun disebabkan penyakitnya semakin serius,”.
“Beliau terpaksa menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu dan amat sukar baginya untuk berulang alik ke UPSI. Jadi saya mengambil keputusan untuk berulang alik ke Palembang bagi membantu beliau menganalisis data-data kajiannya,”.
“Akhirnya pada tahun 2016, tesis beliau telah dapat disiapkan, tetapi pada masa itu kedua-dua kakinya terpaksa diamputasi dan dia juga menghadapi beberapa komplikasi lain yang harus ditanggung ,” katanya.
Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Ibu Yetty juga dijadualkan akan membuat pembedahan untuk membuang air di dalam paru-paru. Begitu besar cabaran yang dihadapi, namun Ibu Yetty masih gigih untuk terus berjuang bagi mendapatkan segulung ijazah yang sekian lama diidamkannya. Akhirnya tercapai juga.
Tambah Profesor Dato’ Dr. Aminah, semangat kental dan kegigihan yang luar biasa Ibu Yetty ini patut menjadi contoh teladan kepada pelajar-pelajar yang lain. Setiap usaha yg disertakan dengan keikhlasan pasti akan membawa kejayaan dan akan diberkati oleh Allah S.W.T.
Dr. Yetty sejurus tamat istiadat terus pulang ke Kuala Lumpur untuk menjalani dialisis di hospital sempat menitipkan ucapan terima kasih kepada pihak UPSI dan jika diizinkan Allah, beliau ingin menjadi alumni UPSI yang aktif.