T.S ALIMUDDIN

Tanjong Malim, 23 Oktober  – Bersempena Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris Ke-19 yang diadakan pada 24 – 26 Oktober 2017 ini, UPSI mengurniakan watikah pelantikan kepada Pro-Canselor baharu, Tan Sri Haji Alimuddin Hj Mohd Dom.

Beliau menggantikan Tan Sri Yahaya Ibrahim yang tamat lantikan pada bulan Ogos lalu. Majlis penyerahan watikah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim, selaku Canselor UPSI.

Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Haji Mohd Dom merupakan lulusan Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang Pentadbiran Pendidikan pernah berkhidmat dalam bidang pendidikan selama hampir 35 tahun.

Sepanjang berkhidmat sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bergiat secara aktif dalam merangka pelbagai dasar, peraturan, menyediakan pekeliling ikhtisas dan garis panduan bagi memperkemaskan dan meningkatkan kualiti pendidikan.

Antaranya ialah pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006 – 2010, memperkenalkan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI), memperkenalkan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), mengkaji semula dan menaik taraf sukatan pelajaran peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), memperkenalkan Dasar Mengehadkan 10 Mata Pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Dasar Subjek Sejarah Wajib Lulus SPM, Dasar Penjenamaan Semula Tingkatan Enam Dasar Satu Murid Satu Sukan dan memperkenalkan Program Pertukaran Pelajar Thailand di Malaysia.

Selepas bersara, kredibiliti beliau sebagai pemimpin pendidikan terus terserlah dan diyakini apabila diberi kepercayaan untuk memegang jawatan di beberapa buah organisasi antaranya ialah sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu; Pengerusi, Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics, Kuala Lumpur; Pro-Canselor, Kolej Universiti Bestari, Terengganu; Pengerusi Lembaga Pengelola, Taylor’s International School; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah, Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB); Pengerusi Yayasan Damai Sejahtera Malaysia (YDSM) dan telah dilantik untuk menganggotai Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaa (MPPK), Kementerian Pendidikan Malaysia.

Atas jasa dan sumbangan dalam pelbagai bidang, beliau telah dikurniakan darjah kebesaran Dato Paduka Mahkota Perak (D.P.M.P) tahun 2007, Panglima Setia Mahkota (P.S.M) tahun 2009, dinobatkan sebagai Tokoh Kepimpinan Guru Negeri Perak dan Daerah Manjung pada tahun 2013, Anugerah Khas Maal Hijrah Negeri Perak (2013) dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan tahun 2014.

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Tinggalkan Balasan

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)