Tanjong Malim, 24 Oktober – Seramai 5,182 graduan menerima diploma dan ijazah masing-masing pada Istiadat Konvokesyen UPSI kali ke-19 yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Oktober 2017.
Menurut Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran, pada sesi pertama istiadat yang telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan, Tuanku Zara Salim, selaku Canselor itu, UPSI mengurniakan Anugerah Kecemerlangan kepada 45 graduan antaranya Anugerah Pelajaran Diraja, Pingat Emas Canselor, Pingat Emas Lembaga Pengarah Universiti, Pingat emas Naib Canselor, Anugerah Kecemerlangan Pelajar Antarabangsa Kategori Ijazah Doktor Falsafah, Anugerah Kecemerlangan Pelajar Antarabangsa Kategori Ijazah Sarjana, Anugerah Kecemerlangan Pelajar Antarabangsa Kategori Ijazah Sarjana Muda, Anugerah Tesis Kepimpinan Pendidikan MSEAM, dan Anugerah Bitara.
Tambah beliau, pada istiadat kali ini turut diadakan istiadat pelantikan Pro Canselor baharu iaitu Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin Hj. Mohd Dom yang menggantikan Tan Sri Yahaya Ibrahim (tamat lantikan pada bulan Ogos yang lalu), pengurniaan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada Tan Sri Dato’ Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor, pengurniaan Ijazah Kehormat Doktor Kesukarelawanan kepada Encik Ahmad Sani Araby Dato’ Abdul Alim Araby dan pengurniaan Profesor Emeritus kepada Profesor Dr. Muhammad Bukhari Lubis.
Selain itu, bagi memeriahkan majlis serta meraikan graduan, UPSI turut mengadakan Pesta Konvokesyen yang diadakan di Pentas Utama Tapak Pesta Konvokesyen dengan pelbagai program menarik antaranya Program Tilawah Al-Quran, Karnival Sukan Pelajar, Karnival Sukan Rakyat, Medic Tour (sesi derma darah dan pemeriksaan gigi), Program Pendidikan Khas Integriti Go Green Bersama Komuniti UPSI, Seminar perubatan islam, Pertunjukan Tempur Tanpa Senjata, UPSI Terbang tinggi : From Zero to Hero, dan Forum Hal Ehwal Islam Bersama Tn.Hj Harith Fadzilah (JAIPK) dan Ustazah Nazirah (JAKIM).