Kelantan, 12 November – Pegawai Belia dan Sukan, Datin Wan Nurul Hidayu Wan Abdul Razak menerima Anugerah Tokoh Sri Kandi Silat Kelantan.
Beliau menerima anugerah tersebut atas sumbangan beliau dalam memperkasakan sukan silat sempena Program Himpunan Pendekar Silat Kelantan 2017 yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan, Panji.
Datin Wan Nurul Hidayu berkata, anugerah itu merupakan anugerah ketiga yang diperolehi beliau sepanjang penglibatan dalam dunia persilatan.
Sebelum ini beliau pernah menerima anugerah dari Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayong Malaysia Sri Kandi Pusaka Gayong Negeri Kelantan dan Anugerah Tokoh Sri Kandi Negara yang membawa gelaran Tun Fatimah.
Beliau turut berharap agar generasi muda khususnya pelajar UPSI dapat mempelajari dan mengenali seni mempertahankan diri itu dengan bersungguh-sungguh supaya seni warisan bangsa itu tidak lenyap dan terpelihara martabatnya pada masa akan datang.
Turut hadir, Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Perkasa), Datuk Megat Zulkarnain Omardin; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Mohd Nazri Yaacob dan Ketua UMNO Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yasim.