Tanjong Malim, 13 November – Hubungan baik antara pihak majikan dan kakitangan dalam organisasi pastinya membawa impak yang cukup besar dalam pengembangan sesebuah organisasi untuk mencapai produktiviti yang lebih baik di samping dapat menyumbang kepada suasana yang harmoni, aman dan penuh ukhuwah.
Menurut Presiden Kesatuan Pegawai Am (KPA), Nazeema Mohamed Yusof, unsur saling hormat-menghormati antara majikan dan kakitangan serta sesama pekerja itu sendiri mampu menjaga hubungan baik antara mereka. Sikap ini apabila diterapkan dalam organisasi mampu mewujudkan hubungan sosial yang baik dan dapat memastikan setiap kegiatan organisasi dapat berjalan dengan lancar.
Sikap ini dilihat mampu membawa UPSI Terbang Tinggi seperti impian Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran,” katanya pada Majlis Black Tie Dinner sempena penyampaian sijil watikah pelantikan Pegawai-Pegawai KPA yang berlangsung di Dewan Sri Tanjong.
Dalam majlis itu seramai 40 orang ahli menerima watikah pelantikan bagi sesi 2017/2020 yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Dr. Md Amin Md Taff.
KPA turut menyampaikan Anugerah Majikan Terbaik UPSI 2017 kepada dua orang tokoh sebagai tanda penghargaan pihak pekerja kepada majikan iaitu Nurfaizal Fariz Sahdan (Kategori Pengurusan & Profesional) dan Dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Profesor Madya Zaharul Lailiddin Saidon (Kategori Pengurusan Hubungan Majikan Pekerja).
Pengiktirafan ini diberikan sebagai tanda penghargaan kepada majikan yang prihatin kebajikan dan sentiasa menjaga keharmonian dalam perbincangan. Menurut Presiden KPA, ini merupakan tahun kedua anugerah ini diberikan kepada dua tokoh yang komited terhadap hubungan bersama kesatuan.
Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Pekerja Malaysia, Datuk Hj Omar Hj Osman yang juga merupakan mantan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
“Ini contoh terbaik yang telah dibuktikan oleh Kesatuan Pegawai Am dalam menghargai majikan mereka,” kata Omar.
Tambah beliau, majlis bertemakan Black Tie Dinner satu konsep kelainan yang dibawa oleh Kesatuan dan pujian harus diberikan kepada KPA UPSI.
Jumlah terkini ahli kesatuan pekerja di UPSI ialah 1009 orang.