UPSI, 20 Januari – Pusat Kebudayaan Universiti Pendidikan Sultan Idris menganjurkan Anugerah Seni Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) 2018 untuk mengiktiraf usaha pelajar dan kakitangan MAKUM dalam memartabatkan arena seni dikalangan warga Universiti Awam.
Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Dr. Md Amin Md Taff berkata, UPSI telah menjadi sekretariat dan tuan rumah untuk tempoh dua tahun bermula tahun 2016 & 2017.
“Sepanjang tempoh itu, pelbagai program dan pertandingan anjuran UPSI mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada mahasiswa/i seluruh IPTA,”.
“Justeru, bagi menghargai penglibatan kakitangan serta pelajar IPTA yang terlibat, UPSI mengambil inisiatif menganjurkan majlis ini seterusnya dapat mencungkil bakat pelajar untuk pemerkasaan dan pembinaan kualiti diri pelajar untuk bersaing di peringkat Antarabangsa,” katanya pada majlis yang diadakan di Panggung Percubaan.
Tambah beliau, tema ‘Warna Warni 1 Malaysia’ diangkat bagi mengekal dan memperbaharui semangat patriotik dalam kalangan pelajar yang berbilang kaum dan agama.
“ Kelestarian hubungan antara kaum ini amat penting bagi memacu Universiti ke peringkat global. Seperti sedia maklum, peredaran masa terkini telah menelan warisan seni budaya masyarakat Malaysia dan perkara ini tidak lagi dititik beratkan semasa di Universiti,”.
“Oleh itu, bagi menyemarakkan lagi penglibatan pelajar dalam setiap penganjuran aktiviti MAKUM akan datang, pegawai – pegawai MAKUM perlulah lebih efisien dalam melaksanakan aktiviti tersebut seterusnya dapat menjadi pemangkin kepada seni budaya dalam kalangan pelajar Universiti Awam (UA),” katanya.
Dalam majlis itu, UPSI menyampaikan Anugerah Penghargaan Khas kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Nik Ali Mat Yunus serta mengangkat Universiti Sains Islam Malaysia sebagai penerima Anugerah Gong Kencana iaitu anugerah kepada universiti awam dengan penganjuran kebudayaan terbaik.
Turut diiktiraf ialah 38 penerima Anugerah Bonang Emas (anugerah pelajar yang terlibat secara aktif dan cemerlang), 18 penerima Anugerah Gambang Mustika (anugerah kelab persatuan yang terlibat secara aktif dan cemerlang), lima penerima Anugerah Kalung Budi (anugerah kepada individu yang telah banyak memberi sumbangan ke arah pembangunan MAKUM secara langsung atau tidak langsung, atau, Pegawai MAKUM yang akan menamatkan perkhidmatan dan telah banyak berjasa sepanjang perkhidmatan), dan enam penerima Anugerah Sejuta Penghargaan, (anugerah kepada individu yang telah banyak membantu Universiti Pendidikan Sultan Idris sepanjang 2016-2017).
Turut diadakan sesi penyerahan tampuk kepimpinan yang baharu iaitu kepada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan penyampaian hadiah Pertandingan Cipta Logo MAKUM yang dijuarai oleh Muhammad Alif Omar Abdul Jalil dari Universiti Sains Islam Malaysia.