Teluk Intan, 4 Januari – Pembinaan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Kampus Teluk Intan yang memasuki fasa kedua dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2019.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, kerja-kerja pembinaan bangunan akan dilakukan bermula tahun ini sehingga Disember 2019 sebelum ia dibuka untuk pengambilan.
“Dengan kerjasama pelbagai pihak terutamanya kontraktor yang dilantik serta pemantauan Jabatan kerja Raya (JKR) saya yakin kampus tersebut dapat disiapkan mengikut tarikh yang ditetapkan serta berkemungkinan siap awal,”.
“Apabila siap kelak, kampus bernilai RM177.4 juta itu bakal menerima 2,000 pelajar yang dalam bidang teknikal dan vokasional, selain 200 tenaga pengajar dan kakitangan, tidak termasuk ahli keluarga mereka, yang akan menetap dan berbelanja di situ sekaligus bakal menjana ekonomi penduduk daerah itu sehingga RM1 juta sebulan apabila beroperasi pada tahun 2020,” katanya pada Majlis Pelancaran Pembinaan UPSI Kampus Teluk Intan Fasa Kedua, di Batu 4, Changkat Jong, Teluk Intan.
Tambah beliau, pembinaan Fakulti Teknikal dan Vokasional di kawasan seluas 32 hektar di itu juga akan menjadikan kawasan Parlimen Teluk Intan sebagai hub pendidikan di selatan Perak selepas pembinaan kampus cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kolej Komuniti sebelum ini.
“Kampus yang menempatkan Fakulti Teknikal dan Vokasional ini akan menawarkan 10 kursus bagi melahirkan guru berkemahiran mengajar di Kolej Vokasional dengan penekanan diberikan terhadap keperluan Revolusi Industri 4.0,” katanya
Hadir sama, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, Dato’ Seri Mah Siew Keong, Ahli Dewan Undangan Negeri Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin dan Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Mohamad Shatar Sabran.
#upsitelukintan