UPSI, 22 September – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjadi tuan rumah dan penyelaras bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, serta Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) bagi Program Keusahawanan Peringkat Nasional 2020/2021: University to Community” Kementerian Pengajian Tinggi yang berlangsung di Scholar Suite.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Mansor Haji Othman berkata, program tersebut memberi makna yang besar kepada usaha untuk mengangkat agenda keusahawanan di Institusi Pengajian Tinggi di samping menzahirkan komitmen semua pihak terlibat untuk melahirkan usahawan di kalangan mahasiswa yang mampu bersaing dalam pasaran yang kompetitif.
“Saya percaya melalui pelaksanaan program ini, lebih ramai usahawan sosial akan dapat dilahirkan, seterusnya menyumbang kepada pencapaian Lonjakan 1, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 untuk melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang,” katanya.
Tambah beliau, KPT menerima sejumlah dana keusahawanan daripada Kementerian Kewangan untuk menampung pelaksanaan program keusahawanan di IPT dan tahun ini kementerian menerima peruntukan berjumlah RM8 juta berbanding RM7.65 juta pada 2019.
“Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memperuntukkan dana RM65,000 bagi melatih seramai 600 mahasiswa di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti dalam bidang keusahawanan sosial,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) UPSI bertanggungjawab sepenuhnya merancang perjalanan program berkenaan hingga tahun depan.
“Bagi mahasiswa yang ingin terlibat dengan aktiviti keusahawanan, mereka perlu berdaftar dengan EDGE UPSI. Di sini bermulanya laluan mereka dimana pelbagai pendekatan dan penasihatan akan diberikan sama ada daripada UPSI ataupun daripada rakan strategik Universiti iaitu SMECORP dan CELCOM Axiata Berhad,”.
“Pihak pengurusan UPSI juga sentiasa menyediakan ekosistem keusahawanan yang kondusif kepada UPSIpreneur seperti kemudahan kios yang boleh disewa oleh mahasiswa, UPSIpreneur Lounge yang menjadi inkubator untuk menguruskan perniagaan mereka, mentor keusahawanan di setiap fakulti dan skim pinjaman tanpa faedah untuk memulakan perniagaan,” katanya.
#cemerlangbersama #upsibest #UPSIMalaysia #upsino1pendidikan #upsino1education
#Malaysiamembaca #upsithenextlevel #kitajagakita #StayHome
—
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
UPSI NO.1 PENDIDIKAN | UPSI NO.1 IN EDUCATION