UPSI, 1 Oktober – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditabalkan sebagai pemenang hadiah utama ‘Best of the Best’ pertandingan International Innovation in Technical and Vocational Education and Training (INNOTVET 2020) sekaligus menewaskan 176 pasukan yang terdiri daripada sekolah menengah, kolej vokasional, politeknik dan Institusi Pengajian Tinggi dari seluruh Malaysia.

Dalam pertandingan yang dilakukan secara dalam talian anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia itu, UKM turut memenangi tempat pertama kategori B (pingat emas) menerusi Projek inovasi ‘Radar Trainer for Communication Engineering Student’  dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai bernilai RM1700.00 keseluruhannya.

Dekan Fakulti Teknikal dan Vokasional, Profesor Madya Dr. Ridzwan Che’ Rus berkata, inovasi yang ditunjukkan dalam pertandingan tersebut menyerlahkan kematangan pelajar, mahasiswa dan kakitangan akademik disamping menonjolkan idea-idea baharu untuk mendepani cabaran kurikulum masa hadapan (future ready curriculum).

Menurut beliau, cabaran yang berlaku pada hari ini ialah pelajar dan mahasiswa yang keluar daripada kolej komuniti, kolej vokasional, universiti awam dan swasta bukan lagi akan menjadi pencari pekerjaan sebaliknya yang paling besar ialah sebagai pencipta kerjaya.

“Usaha mencipta kerjaya ini memerlukan budaya inovasi yang sangat luas kepada semua peringkat pengajian. Di bawah pakej penjana, kerajaan menyalurkan RM 100 juta untuk memberikan latihan tambahan kepada mahasiswa yang bergraduat pada tahun 2019/2020 kerana dijangka pada tahun ini 100 ribu graduan mungkin bakal menganggur,”.

“Justeru, cabaran kita adalah bagaimana inovasi yang dijalankan pada hari ini boleh menjadi pencetus kepada penciptaan peluang-peluang kerjaya baharu di kalangan pelajar dan graduan TVET dari pengajian tinggi dan kemahiran awam yang lain,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup INNOTVET 2020 yang dilakukan secara live menerusi Facebook rasmi pertandingan itu, Innotvet .

Sementara itu Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pertandingan ini sangat penting terutamanya dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Pihak kerajaan sering kali mewarwarkan khususnya kepada mahasiswa bahawa mereka perlu berubah daripada pencari pekerjaan kepada pencipta kerjaya. Justeru, saya berharap inovasi yang terhasil dari pertandingan ini mampu melonjakkan dan mengubah kehidupan para peserta terutamanya dan masyarakat keseluruhannya dalam negara kita sekaligus dapat memberi kesan positif kepada semua pihak,” katanya.

INNOTVET mempertandingkan 3 kategori iaitu kategori A (Sekolah Menengah), kategori B (Institut Pengajian Tinggi) dan Kategori C (Ahli Akademik Dan Penyelidik) melibatkan lima tema iaitu Pengurusan, Perhotelan dan Pelancongan, Pengajaran dan Pembelajaran, Teknologi dalam Elektrik & Elektronik, Teknologi dalam Makanan & Pertanian dan Teknologi dalam Pembuatan, Mekanikal & Mekatronik.

 

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)