Oleh: Megat Afnan Zuhairi Ahmad Hassan (Pelajar Praktikal UiTM)
UPSI, 5 Jun – Meskipun di era pandemik, namun ianya tidak menghalang Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk terus menerokai dunia dengan penganjuran Program Travelove: Let’s Enjoy The Journey secara atas talian, melalui platform Google Meet dan Facebook.
Program yang julung kali diadakan itu menampilkan empat (4) panel jemputan yang berpengalaman menetap diJerman, Jepun, Turkey dan Mesir, untuk berkongsi pengetahuan mereka dari segi bahasa, budaya, pemakanan dan adat di negara yang pernah mereka diami.
Program yang berdurasi selama 3 jam itu bersiaran langsung selama tiga (3) minggu merangkumi 4 episod yang berbeza, bertujuan memberi pendedahan kepada belia tentang kepentingan mendapatkan kesahihan sesuatu isu dan penjelasan yang tepat daripada pihak yang berautoriti.
Disamping itu, program sebegini berpotensi dalam meluaskan pemikiran belia untuk lebih terbuka dan kreatif dalam membincangkan pelbagai topik serta membolehkan mereka mempersiapkan mental dan fizikal dalam menghadapi segala cabaran pada masa akan datang.
Majlis penutup program dirasmikan oleh Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), merangkap pemangku Timbalan Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Md. Amin Md. Taff.
Menurut beliau, inisiatif ini perlu diteruskan bagi membuka minda belia terhadap dunia luar serta mendedahkan mereka kepada cara budaya hidup di negara lain.
“Program ini juga dapat menanam sifat nilai murni dalam menghargai perbezaan budaya dan keunikan masyarakat lain. Pengembaraan ini tidak tertakluk kepada perbelanjaannya, akan tetapi kepada apa yang dipelajarinya. Harga perjalanan itu murah tetapi pengalaman yang bakal diperolehi itu mahal” katanya.
#demiupsi #cemerlangbersama #upsibest #UPSIMalaysia #upsino1pendidikan #upsino1education #Malaysiamembaca UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS UNIVERSITI NO.1 PENDIDIKAN | NO.1 EDUCATION UNIVERSITY