Kuala Lumpur: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memperkenalkan program Sarjana Kaunseling (Kesihatan Mental Klinikal), yang akan bermula September ini.
Naib Canselornya, Prof Dr Md Amin Md Taff berkata, program itu adalah yang pertama seumpamanya ditawarkan oleh universiti negara ini.
Menurutnya, program kendalian Jabatan Psikologi dan Kaunseling Fakulti Pembangunan Manusia itu langkah tepat dalam mengembangkan program berkaitan permasalahan semasa yang melanda masyarakat negara ini.
“Program itu juga dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran amalan kaunseling bagi memenuhi keperluan serta permasalahan semasa sekali gus meningkatkan kualiti kesihatan mental masyarakat yang kini dilanda Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Dr Marzita Puteh berkata, pihaknya menyahut hasrat Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) dan universiti ke arah pengantarabangsaan melalui pengiktirafan yang diperoleh daripada badan akreditasi negara iaitu Lembaga Kaunselor Malaysia serta badan akreditasi antarabangsa (CACREP). https://044eb50c57a06392ec1c930b68e67a8b.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html
Beliau berkata, program itu sangat relevan dengan Bidang Keutamaan Ekonomi Negara (NKEA) yang ke-9 iaitu bidang pendidikan yang dapat membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Selain itu, katanya, ia juga bagi memenuhi bekalan dan permintaan pekerjaan profesional penjagaan kesihatan mental berpengetahuan serta kemahiran tinggi.
Ketua Program, Prof Madya Dr Samsiah Mohd Jais pula berkata, belum ada program sedemikian ditawarkan di universiti awam negara ini dan Asia Tenggara, namun sudah bertapak kukuh di kebanyakan universiti luar negara.
Justeru, katanya, UPSI bertindak proaktif menawarkan program berkenaan di peringkat pengajian sarjana melalui mod kerja kursus.
“Komponen kursus program meliputi penyelidikan dan teras kaunseling sebanyak 35 jam kredit manakala kursus pengkhususan dan laporan projek kaunseling kesihatan mental serta amali klinikal meliputi 28 jam kredit.
“Selepas itu melayakkan penuntut bergraduat dan memohon untuk mendaftar lesen akuan amalan kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia,” katanya.
Calon yang berminat boleh mendaftar menerusi laman sesawang https://postgrad.upsi.edu.my dan untuk pertanyaan lanjut boleh diajukan ke https://chat.whatsapp.com/K62sEWZUpZnKsYKNTp25da atau emel kepada samsiah@fpm.upsi.edu.my.
demiupsi #cemerlangbersama #upsibest #UPSIMalaysia #upsino1pendidikan #upsino1education #Malaysiamembaca UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS UNIVERSITI NO.1 PENDIDIKAN | NO.1 EDUCATION UNIVERSITY
-HMetro