KUALA LUMPUR: Satu garis panduan jelas mengenai penjagaan keselamatan data perlu diwujudkan bagi mengelak data peribadi orang ramai dicuri dan disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab.
Pensyarah Kanan Jabatan Komputeran, Fakulti Seni Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Shamsul Arrieya Ariffin, berkata garis panduan itu sama ada melalui info grafik atau video bagi memberi penerangan asas penjagaan keselamatan data terbabit.
Beliau yang juga Ketua Kebolehgunaan Pengujian Perisian Pendidikan UPSI berkata, secara tidak langsung ia dapat meningkatkan kesedaran keselamatan siber bukan saja di agensi awam dan swasta, malah kepada masyarakat umum.
“Dengan cara memberi penerangan mengenai garis panduan ini, orang ramai, agensi kerajaan dan swasta akan lebih memahami kepentingannya.Disyorkan Untuk Anda
“Selain itu, masalah kebocoran data boleh dicegah jika semua pihak sama ada di agensi awam dan swasta lebih berintegriti dalam pekerjaan mereka.
“Masalah ini boleh diatasi agensi dan syarikat dengan meningkatkan keselamatan rangkaian daripada serangan siber,” katanya kepada BH, hari ini.
Beliau mengulas laporan dakwaan kebocoran maklumat serius apabila empat juta data peribadi awam kononnya diperoleh melalui laman sesawang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM) ditawarkan untuk dijual.
Kebocoran data peribadi awam itu didakwa membabitkan Application Programming Interfaces (API) yang dihasilkan untuk myIDENTITY di bawah seliaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Shamsul berkata, agensi awam atau syarikat juga boleh mengelak kebocoran maklumat dengan sentiasa mengemaskini dan meningkatkan sistem sedia ada kepada sistem operasi terkini.
Beliau berkata, di pihak masyarakat awam pula, mereka boleh sentiasa menukar kata laluan yang lebih kukuh dari segi keselamatan dan sukar diramal.
- BHOnline