Sungai Siput, 29 September 2021: ResQ Team Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) prihatin terhadap nasib yang menimpa penduduk Mukim Pulai Kamiri, Daerah Sungai Siput Utara berikutan rumah penduduk dimasuki air akibat hujan lebat hingga berlakunya banjir kilat kelmarin.

            Prof Dato’ Dr Md Amin Md Taff (Naib Canselor UPSI), berkata sebagai tanda simpati, ResQ Team UPSI menggerakkan operasi  bagi menyerahkan sumbangan makanan dan menyalurkan khidmat tenaga dalam proses pembersihan di rumah mangsa banjir di kawasan sekitar Felda Lasah dan Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Tok Sirat.

            “Usaha murni adalah selaras dengan agenda UPSI dalam memartabatkan UPSI sebagai universiti ternama di Malaysia dan antarabangsa serta memperkukuhkan keinsanan warga UPSI yang sentiasa menyumbang keringat dan tenaga demi keharmonian dan kemakmuran Keluarga Malaysia tercinta, “ katanya.

            Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Kangsar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Kangsar, Zulhisham Ahmad Shukori, berkata  dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa-magsa banjir iaitu Dewan Orang Ramai RPT Tok Sirat seramai 83 orang mangsa banjir melibatkan 14 keluarga manakala Dewan Sekolah Kebangsaan Lasah lapan keluarga sejak kelmarin.

         Hadir sama Penolong Pegawai Daerah Sungai Siput,  Mohammad Suffian Zakaria dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan RLKT Lasah, Nazri Zainun pada majlis penyerahan sumbangan.

         Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof Madya Dr Norkhalid Salimin menjelaskan misi bantuan banjir selama dua hari itu dilaksanakan bersama-sama 27 ahli ResQ Team yang membabitkan pensyarah, kakitangan dan ahli Resq Team Siswa UPSI.

Prof Madya Dr Norkhalid Salimin menyerahkan sumbangan keperluan asas dan makanan kering kepada murid peserta Program EmpowerNCER Akademik @ Perak yang menjadi mangsa banjir sambil disaksikan Zulhisham (tengah) dan Nazri Zainun (dua dari kanan).

         “Selain menyampaikan sumbangan dan mencuci rumah mangsa , kami juga mencuci karpet masjid yang terkena air banjir, “ katanya. 

         Beliau berkata Bahagian Pengangkutan UPSI menyediakan empat kenderaan pacuan empat roda, sebuah lori dan sebuah bas untuk membawa sukarelawan dan peralatan dalam misi bantuan banjir ini.

         Dr Norkhalid yang juga Ketua Projek EmpowerNCER Akademik @ Perak berkata sebanyak 50 pek barangan keperluan asas dan makanan kering sumbangan Northern Corridor Economic Region (NCER) turut diserahkan kepada mangsa banjir.

         Pihak UPSI, katanya,  terlibat dengan Program EmpowerNCER Akademik @ Perak di tiga  buah sekolah di daerah berkenaan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Bawong, Sekolah Menengah Kebangsaan  Toh Muda Abdul Aziz serta Sekolah Menengah Kebangsaan RLKT Lasah yang melibatkan 200 orang murid SPM tahun 2021.

          “Yang menyedihkan seramai 10 murid peserta program ini telah menjadi mangsa banjir dan rumah mereka ditenggelami air di Felda Lasah, “ katanya.

Anggota ResQ Team UPSI sedang menjalankan kerja pembersihan di rumah mangsa banjir di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Tok Sirat, Sungai Siput.
ResQ Team sedang melakukan kerja pembersihan karpet masjid.
Berat sama dipikul. Ringan sama dijinjing. Sukarelawan ResQ sedia membantu.

Nota Pengarang: Tahniah ResQ Team UPSI. Sentiasa menabur bakti demi pertiwi. Moga-moga menjadi teladan buat kita semua untuk berkorban selagi hayat dikandung badan. #Demiupsi

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my