TANJONG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) prihatin terhadap nasib tiga bakal pelajar peringkat ijazah sarjana muda dengan memberi derma siswa bagi merealisasikan impian mereka melanjutkan pengajian.

Pengarah Pusat Wakaf Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS), Prof Madya Dr Mohd Abdul Nasir Abd Latif ketika berkunjung ke rumah tiga pelajar berkenaan di Kelantan, berkata pemberian dermasiswa itu digerakkan sebagai memenuhi peranan membantu pelajar yang mengalami masalah kewangan.

Mohd Abdul Nasir (kiri) menyerahkan surat anugerah derma siswa kepada Wan Nur Atierah (dua kiri) serta ibunya, Hamsiah Muhamad dan Mohd Izwan (kanan) – Foto UPSI

Beliau berkata, proses memberi sumbangan derma siswa untuk bakal pelajar UPSI, Wan Nur Atierah Mohd Nasrom dari Kampung Bendang Pulau Palekbang, Tumpat.

“Hari ini, kita menyampaikan surat derma siswa kepada keluarga Wan Nur Atierah sekali gus membolehkannya melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Sumber Manusia). Disyorkan Untuk Anda

Beliau berkata, UPSI sememangnya sudah mengenalpasti bentuk bantuan berdasarkan maklumat pemohon yang ada ketika memproses surat tawaran.

Sesi penyerahan derma siswa itu turut disertai Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Prof Madya Dr. Mohd Izwan Shahril serta Presiden Alumni Anak Kandung Suluh Budiman Kelantan, Mohd Zapri Mat Zin.

Mohd Abdul Nasir berkata, inisiatif WEZAS secara berterusan itu bertujuan memastikan peluang pendidikan diberi kepada seluruh lapisan masyarakat khususnya mereka yang berkeperluan. Ini dapat memberikan pelajar untuk terus fokus dalam menuntut ilmu seterusnya membela nasib diri dan keluarga kelak.

Wan Nur Atierah begitu terharu atas keprihatinan pihak UPSI merealisasikan impiannya melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan.

“Saya berazam tidak akan menghampakan harapan kedua ibu bapa untuk belajar sehingga berjaya menamatkan pengajian dan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas keprihatinan pihak UPSI yang bersimpati terhadap saya dan keluarga,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, derma siswa juga turut diberi kepada pelajar UPSI, Raja Nur EzaatiRaja Mansor di kediamannya di Kampung Leheh Ayer Lanas, Kelantan yang sedang menerima rawatan Prolapsed Intervertebral Disc (PIC) untuk menyampaikan sumbangan bagi meringankan kos rawatan.

Katanya, bantuan derma siswa juga diberi kepada Muhammad Shamem Ajmathullah Khan yang ditawarkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah), manakala Siti NurhanisYaacob yang ditawarkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Perisian Pendidikan) di Pulau Pinang dan Melaka.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, universiti itu sentiasa cakna dalam isu pendidikan dan prihatin bagi mengenalpasti pelajar UPSI yang berkeperluan untuk melanjutkan pengajian di universiti berkenaan.

“Kita berharap semua pelajar yang dianugerahkan derma siswa akan belajar dengan tekun dan rajin demi membela nasib keluarga dan kecemerlangan masa depannya,” katanya.

  • BHonline