Foto: Shahidah Abu Hassan
Bangunan Canselori 24 September – Seramai 18 orang kakitangan akademik yang terdiri daripada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Guru Bahasa dan Pensyarah Universiti hari ini diraikan dalam sebuah majlis penyampaian surat lantikan oleh Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff di Bangunan Canselori hari ini.
Menurut Yang Berbahagia Prof Datuk Dr. Md Amin, menerusi kenaikan pangkat tersebut diharapnya dapat membuka ruang dan peluang berkorban kepada seluruh warga sarjana untuk menjadikan pusat pengajian terulung ini sebagai yang disegani dan terbaik di rantau ini.
“UPSI telah melalui perjalanan legasi yang cukup panjang sejak penubuhan Sultan Idris Teaching College (SITC) 1922 yang gah namanya bukan saja di tanahair sebaliknya rantau Asia Tenggara. Saya mengajak tuan-tuan dan puan-puan semua untuk sama-sama menyokong saya untuk bekerja menggembeleng tenaga memacu kejayaan universiti yang tercinta ini,” jelasnya.
“Gabungkan seluruh kepakaran yang tuan-puan ada secara teori tetapi kembangkan secara pragmatis, inilah yang kita cuba dan sedang lakukan, kadang-kadang apa yang kita lakukan itu kecil, tetapi percayalah impaknya mungkin besar,” tambahnya lagi.
Seramai tujuh orang Pensyarah Universiti Gred DS52 menerima kenaikan pangkat Profesor Madya Gred DS54, lima Pensyarah Universiti Gred DS45 naik pangkat Pensyarah Universiti Gred DS52, tiga Guru Bahasa Gred DG44 naik pangkat Guru Bahasa DG48, dua Guru Bahasa Gred DG41 naik pangkat DG44 dan seorang Pegawai Perkhdmatan Pendidikan Gred DG29 naik pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG32.
ePENA sempat menemubual salah seorang penerima surat lantikan kenaikan pangkat iaitu Prof Madya Ibrahim Hashim, Pensyarah Universiti Fakulti Sains Kemanusiaan yang telah berkhidmat hampir 22 tahun di UPSI melahirkan rasa gembira dan syukur ke atas rezeki.
“Alhamdulillah peluang pertemuan bersama NC memberi aspirasi, InshaAllah dengan ruang yang diberi kepada kami akan kami galas amanah demi menjulang nama UPSI ke peringkat lebih tinggi lagi,” jelasnya. Kami di meja pengarang ucapkan tahniah kepada semua penerima. Mudah-mudahan menjadi pembakar semangat kepada seluruh warga Ibu Kandung Suluh Budiman hendaknya.