Oleh: Prof Madya Dr. Ghazali Din / Foto: Ramli Mosmin
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi mencipta kejayaaan pada tahun ini apabila dimumkan berada pada kedudukan 176-200 dunia dalam bidang pendidikan.
Pengumuman oleh The Time Higher Education hari ini melakar kejayaan yang membanggakan seluruh warga UPSI apabila memperolehi pengiktirafan berkenaan.
Naib Canselor, prof datuk Dr Md Amin Md Taff melahirkan kegembiraan dan kesyukuran dengan kejayaan yang dianggapnya satu pengiktirafan kepada UPSI sebagai satu universiti yang berteraskan Pendidikan yang telah berusia 100 tahun.
“Kejayaan ini bukanlah sesuatu yang mudah, kerana ia merupakan hasil pengorbanan, usaha dan kerjasama dari seluruh warga UPSI melalui ukhuwah yang dijalinkan sesama mereka,” katanya.
Beliau berkata dengan pengiktirafan berkenaan, diharapkan UPSI akan terus cemerlang menyumbang dalam bidang pendidikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua warga UPSI yang bekerja keras bersama-sama berusaha demi menggunggul satu-satunya universiti pendidikan tanah air di persada antarabangsa,” katanya.
Menurut beliau tahun ini UPSI mula menggerakkan sambutan 100 tahun dan acara kemuncaknya pada 29 November 2022.
“Bersama semangat menyambut ulang tahun ke-100 UPSI yang mengambil kira zaman Sultan Idris Training College (SITC), kita berharap akan lebih banyak lagi kejayaan di capai UPSI pada tahun ini dan tahun depan,” katanya.
Sementara itu Pengarah Bahagian Perancangan Korporat, Prof Madya Dr Azmi Mohamed menganggap kejayaan UPSI menyerlahkan keterlihatan pencapaian dan peranan yang dimainkannya terutama dalam bidang pendidikan.
Beliau berkata inisiatif yang disumbangkan semua kakitangan dalam pelbagai sudut sangat penting sekali gus mendorong kepada kejayaan dan pencapaian yang selari dengan pelan strategik UPSI 2021-2025.
“Pengiktirafan ini akan menjadi pemangkin semangat kepada warga UPSI yang bakal menyambut dan merayakan sambutan 100 tahun pada 20 November tahun 2022, “ katanya.
Baru-baru ini UPSI disenaraikan antara universiti yang menduduki 801-1000 (Top 3%) Times Higher Education (THE) World University Rankings 2022 iaitu antara lapan yang teratas universiti di Malaysia.