- oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail (nazirul.ismail@upsi.edu.my)
Jenjarom 14 Disember – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menandatangani perjanjian persefahaman dengan Mahsa Avenue International College (MAIC), untuk memperkukuhkan kualiti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan dalam bidang pengajian pendidikan awal kanak-kanak.
Menurut Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata sebagai sebuah universiti pendidikan terulung tanahair, UPSI mengalu-alukan jaringan kerjasama strategik dengan pihak institusi pengajian swasta baik industri mahupun komuniti bagi merealisasikan hasrat universiti untuk memantapkan ekosistem pendidikan negara.
“Kerjasama antara Fakulti Pembangunan Manusia UPSI dan MAIC ini bertujuan memberi peluang kepada calon-calon pelajar untuk mengikuti pengajian dan memiliki sijil kelayakan akademik daripada UPSI melalui penawaran program akademik Pendidikan Awal Kanak-kanak yang akan dilaksanakan di Pusat Pembelajaran MAIC kampus Petaling Jaya, Kuala Lumpur yang mempunyai kemudahan persekitaran pengajian kondusif dan lengkap,” jelasnya ketika menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoA) antara UPSI dan MAIC di kampus utama Universiti MAHSA, Bandar Saujana Putra, di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Eksekutif MAHSA Sendirian Berhad, Prof. Tan Sri Datuk Dr. Mohamed Haniffa Abdullah menerima dokumen perjanjian persefahaman.
Menurutnya lagi, menerusi kerjasama ini juga dapat menambahbaik kualiti, rekabentuk dan penyampaian kurikulum Pendidikan Awal Kanak-kanak meliputi penyelidikan, perundingan dan penerbitan melalui kedua-dua kepakaran dari UPSI dan MAIC.
“Kerjasama dua hala ini bakal memberi manfaat kepada bakal-bakal pelajar dengan penawaran Ijazah Sarjana Muda dan Diploma dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak sekaligus memperkasa kualiti program akademik dan meletakkan UPSI sebagai hab Pendidikan Awal Kanak-kanak negara dalam menyediakan pedagogi seiring keperluan semasa,” jelasnya lanjut.
Permohonan kemasukan program diploma sudah dibuka pada 15 Disember 2021 hingga 5 Januari 2022 dan sesi pengajian bakal bermula sekitar pertengahan Januari 2022 manakala permohonan untuk pengajian ijazah sarjana muda akan dibuka pada 17 Disember 2022 sehingga 30 Januari 2022 serta bakal memulakan pengajian sekitar bulan Mac 2022.