• oleh: Muhammad Faizul Nazrul Bin Hamzah (KESUA)

Tanjong Malim 4 Oktober – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) baru-baru ini  telah menganjurkan program Kursus Modul QEI. Penyertaan kursus telah dibuka kepada semua ahli Kelab Sahabat Ulul Albab daripada Kohort 4 sehingga Kohort 7.

Slot Khas Perkongsian Prof. Dr Abdul Halim Bin Ali, Pengarah Pusat Ulul Albab

Saudara Muhammad Sobirin Bin Jailani, Yang Dipertua Kelab Sahabat Ulul Albab berkata seramai 96 peserta  telah mengikuti Kursus Modul QEI yang berlangsung selama dua hari ini. Para peserta kursus telah dibahagikan  kepada beberapa kategori mengikut elemen-elemen Ulul Albab, iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik atau singkatannya QEI. Selain itu, Kursus Modul QEI ini juga turut dibantu oleh 25 orang fasilitator yang terdiri daripada barisan alumni Kelab Sahabat Ulul Albab.

Kursus Modul QEI yang dilaksanakan secara virtual telah berlangsung selama dua hari bermula 2 Oktober 2021 sehingga 3 Oktober 2021. Pelaksanaan kursus ini bertujuan untuk memberikan gambaran serta kefahaman yang lebih jelas kepada peserta mengenai elemen-elemen yang terdapat dalam Ulul Albab seperti Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik.

Perkongsian Daripada Ketua Talent Pool Ulul Albab, Dr. Maria Shu Hong Bee (Ensiklopedik)

Pada hari pertama, para peserta telah didedahkan dengan perjalanan Kursus Modul QEI untuk tempoh dua hari kursus berlangsung. Kemudian, pada sebelah petang pula kursus diteruskan lagi dengan perkongsian daripada ketua Talent Pool bagi setiap elemen Ulul Albab seperti Ustaz Mohamad Khairul Azman (Quranik), Dr. Maria Shu Hong Bee (Ensiklopedik) dan Prof. Madya Ts. Dr. Che Ghani (Ijtihadik). Kursus pada hari pertama ini diakhiri dengan sesi perbincangan yang melibatkan peserta dan fasilitator dalam membuat modul serta menambah baik kandungan modul sahabat.

Seterusnya, kursus diteruskan pada hari kedua dengan slot khas yang telah menampilkan Prof. Dr Abdul Halim Bin Ali, Pengarah Pusat Ulul Albab. [NJ5] Beliau telah memberi pendedahan lebih mendalam mengenai elemen-elemen Ulul Albab  serta memberikan motivasi kepada peserta yang dapat dijadikan iktibar dan meningkatkan semangat para peserta.

“Kursus Modul QEI ini merupakan satu wadah yang amat baik dalam kita menyebarkan kebaikan dengan insan yang lain. Setiap apa yang kita lakukan dalam urusan seharian mestilah ikhlas daripada hati,” tambahnya lagi.

Kursus pada hari kedua ini diteruskan dengan slot bersama Saudara Faiz Farhan, mantan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UPSI dengan tajuk “How To Be A Good Presenter”. Fokus perkongsian yang disampaikan adalah berkenaan 6 tips penyampaian yang berkesan.

Kursus ini diakhiri dengan perbincangan dan pembentangan modul daripada para peserta dengan bimbingan daripada wakil fasilitator modul. Para peserta membentangkan modul mengikut tajuk masing-masing dengan membincangkan penambahbaikan untuk kegunaan modul dalam program-program Ulul Albab yang akan datang.

Melalui pelaksanaan Kursus Modul Elemen Ulul Albab (QEI) ini, diharapkan agar para peserta dapat mengendalikan dan menyampaikan modul yang dipelajari dengan baik untuk dikongsikan kepada masyarakat luar sekaligus meneruskan perjuangan Generasi Ulul Albab dalam menyebarkan kebaikan.

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)