• Oleh : Muhammad Firdaus Ahmad Idris (Pelajar Latihan Industri BKK)
  • Foto : Fisol Ahmad

Tanjung Malim – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan Akademi Mega Jati Sendirian Berhad yang akan menampilkan kerjasama dua hala antara pusat pengajian dan syarikat tersebut untuk melaksanakan program Diploma Profesional iaitu Industrial Undergraduate Professional Program in Food Biotechnology & Halal Operation.

        Menurut Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata pelaksanaan program antara UPSI dan Akademi Mega Jati Sdn. Bhd., akan dapat mewujudkan perkongsian pintar dalam aspek pengetahuan, kemahiran, pengalaman, dan kepakaran dalam bidang Sains dan Teknologi khususnya dalam industri halal, sekaligus memberi faedah kepada pelajar melalui pemindahan kepakaran dan kemahiran yang ada.

        “Sejajar dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk merealisasikan misi dan visi negara dalam melahirkan modal insan cemerlang secara holistik dalam aspek usahasama perkongsian ilmu dan kepakaran, inisiatif ini dapat membantu keperluan individu dalam industri mendapat pengiktirafan pensijilan profesional untuk perkembangan kerjaya dalam industri halal,” jelasnya ketika menandatangani dokumen perjanjian di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City hari ini. Majlis turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Akademi Mega Jati Sdn. Bhd., Ir. Abd Mokhti Salleh.

Program diploma profesional ini akan berjalan selama 10-12 bulan serta menyasarkan para peserta yang terdiri daripada pekerja-pekerja industri terlibat dalam pengurusan makanan bagi meningkatkan kemahiran dengan memiliki sijil profesional serta diiktiraf oleh badan-badan pensijilan Malaysia dalam usaha menawarkan Program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) dan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH).

Menurutnya lagi, modul yang disediakan dirangka sendiri oleh pakar bidang bioteknologi Jabatan Biologi, Fakulti Sains dan Matematik UPSI serta Akademi Mega Jati serta turut mendapat kerjasama daripada badan pensijilan utama negara.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my