Haini pada mulanya mewujudkan saluran YouTube sendiri, Januari tahun lalu, bagi berkongsi teknik pembelajaran yang mudah diingati untuk subjek bahasa Melayu. Foto Ihsan Haini Hamlin
KUALA LUMPUR: Memanfaatkan Dana Kandungan Digital (DKD) di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) disalurkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), guru Sekolah Kebangsaan Muara Tebas (SKMT), Kuching Sarawak, Haini Hamlin, 59, mencabar kreativiti dengan menerbitkan siri dokumentari pendek berjudul Cobaan di platform YouTube.
Haini pada mulanya mewujudkan saluran YouTube sendiri, Januari tahun lalu, bagi berkongsi teknik pembelajaran yang mudah diingati untuk subjek bahasa Melayu.
Bagaimanapun menerusi Cobaan, Haini melakukan pelbagai aktiviti menarik seperti silat Spring 12 di Pantai Damai, Santubong, Sarawak.
Selain itu, Haini cuba mengendalikan bot tambang di Kuching Waterfront dan sedang menantikan kelulusan untuk memberi makan kepada buaya dalam episod baharu siri dokumentari berkenaan.
“Selain melakukan pelbagai aktiviti menarik, Cobaan bertujuan memperkenalkan tempat menarik di Kuching dan Siburan.
“Setiap minggu saya masukkan episod baharu di saluran YouTube. Alhamdulillah, saluran berkenaan mula mendapat tempat di hati penonton.
“Saya mahu konsisten agar jumlah penonton dan pelanggan terus berkembang,” katanya kepada BH Online.
Haini mengaku mahu menjadikan saluran YouTube sebagai ‘backup’ untuk meraih pendapatan pasif kerana runsing memikirkan dirinya bakal bersara, tahun depan.
Haini berkata, biarpun memiliki tabungan persaraan, dia tidak mahu terlalu bergantung kepada wang itu semata-mata kerana kos sara hidup meningkat.
Haini juga tidak pernah menganggap usaha mewujudkan saluran YouTube pada usia sekarang sebagai terlambat. Malah, inisiatifnya mendapat sokongan keluarga.
Lagipun, katanya, usaha menerbitkan kandungan YouTube tidaklah sukar kerana ia tidak memerlukan masa dan tenaga yang banyak.
“Pada mulanya memang saya akui kekok apabila terpaksa mengendalikan kelas secara atas lain disebabkan pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR), saya mencari cara bagaimana untuk menambat hati pelajar agar mereka tidak bosan.
“Tapi dari situlah tercetusnya idea untuk mewujudkan saluran YouTube sendiri. Ternyata tidak susah mana kerana proses untuk merakam 12 episod video hanya mengambil masa enam hari untuk tayangan selama tiga bulan.
“Jika saya hasilkan video secara konsisten, saya hanya perlu menunggu insentif daripada YouTube,” katanya.
-SUMBER: Berita Harian bhnews@bh.com.my