- oleh: Nurul Arifah Mohd Hanizam (pelajar latihan industri UPSI)
Tanjung Malim 24 Mac 2022 – Majlis Apresiasi Jawatankuasa Cendekia & Sukarelawan Covid-19 Busters Universiti Pendidikan Sultan Idris telah diadakan hari ini di Dewan Muallim, Scholars’s Suites, Kampus Sultan Azlan Shah, Perak.
Majlis serba ringkas ini telah diadakan bagi meraikan dua entiti penting yang terdiri daripada Jawatankuasa Cendekia dan pasukan sukarelawan COVID-19 Busters yang telah benyak menyumbang dan mengorbankan tenaga serta masa mereka semasa penularan wabak pandemik ini.
Majlis ini juga telah diadakan untuk meraikan penerima bagi Penyerahan Sijil Pelantikan Jawatankuasa Cendekia Universiti sesi 2022/2024, Penyerahan Sijil Penghargaan Jawatankuasa Cendekia Universiti sesi 2020/2022, Penyerahan Sijil Penghargaan Wakil Sukarelawan COVID-19 Busters UPSI, dan Majlis Tandatangan Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
COVID-19 Busters UPSI merupakan pasukan khas yang terdiri daripada sukarelawan pasukan keselamatan dan pengangkutan. Sejak dari penubuhannya, mereka telah berjaya untuk mengambil langkah proaktif dalam mengekang virus ini selain dari menyediakan tempat atau ruang yang selamat buat semua warga di UPSI.
Ucapan aluan oleh wakil daripada pasukan COVID-19 Busters, Encik Rozdi Mohamed Noor yang juga merupakan Ketua Bahagian Pengurusan Risiko dan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan UPSI telah merakamkan rasa syukur atas penghargaan yang diberikan khususnya terhadap pihak UPSI serta semua pihak yang terlibat.
“Terima kasih kepada pihak UPSI yang telah memberikan pengiktirafan kepada pasukan COVID-19 Busters, tidak lupa juga kepada semua sukarelawan yang terlibat sepanjang penubuhan pasukan ini. Kami akan berusaha sedaya upaya untuk memerangi penularan wabak ini supaya warga UPSI dapat berkhidmat dalam keadaan yang aman dan selesa,” jelasnya.
Profesor Dr. Ramlee Mustapha, yang merupakan ahli Jawatankuasa Cendekia Sesi 2020/2022 telah menerima sijil pelantikan sebagai pengerusi bagi sesi 2022/2024 hari ini merasa berbesar hati dan dalam ucapan aluannya, beliau menekankan kepentingan untuk melahirkan lebih ramai golongan-golongan cendekia dalam kalangan profesor di UPSI.
“Dalam jangka masa panjang, UPSI merancang untuk melahirkan Profesor ulung pendidikan yang akan menjadi sanjungan akademik yang terkemuka serta rujukan mengenai isu pendidikan di negara kita selaras dengan apa yang diharapkan oleh pihak pentadbiran UPSI,” katanya.
Dalam pada itu, Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff yang turut hadir dalam majlis tersebut telah menzahirkan rasa syukur dan merafakkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pencapaian dua pihak ini selain merasa terharu atas jasa yang tidak terbalas itu.
“Perjalanan kita sepanjang wabak Covid-19 yang mencabar dan perih ini telah banyak mengubah struktur dari sudut akademik, pengurusan, perbelanjaan dan khususnya komunikasi, kerana saya amat percaya kejayaan sesuatu itu terletak pada komunikasi dalam sesebuah institusi,
“Terima kasih atas jasa kalian yang tidak terbalas ini, teruskan berjuang demi UPSI dan saya percaya, kekuatan yang dibina dengan kasih sayang dari semua warga UPSI tidak kira pangkat dan darjat ini telah membuahkan hasil,” tambahnya lagi.
Di samping itu, memandang kepada sudut Jawatankuasa Cendekia UPSI, beliau juga mengucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh Ahli Jawatankuasa atas pencapaian yang telah diraih sepanjang penglibatan mereka.
“Profesor merupakan golongan yang terpenting di Universiti. Mereka merupakan cendekia atau ahli bitara yang menjadi antara penyumbang utama keserjanaan sesebuah institusi pendidikan itu. Adalah besar harapan saya untuk kita melahirkan Profesor ulung dalam bidang pendidikan, dan strategi perlu diatur agar kita dapat melahirkan insan-insan ini,” jelasnya.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Marzita binti Puteh, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Suriani binti Abu Bakar, Timbalan Naib Canselor (HEP & Alumni), Profesor Madya Dr. Norkhalid Salimin, dan ahli jawatan kuasa pengurusan universiti.