- oleh: Nurul Arifah binti Mohamad Hanizam (Pelajar Latihan Industri BKK UPSI)
UPSI, 23 Mac – Bahagian Komunikasi Korporat (BKK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini telah menjalankan program Qalbu@BKK atau ‘Rabu untuk Qalbu’ yang diadakan bagi mengukuhkan lagi hubungan silaturrahim sesama kakitangan UPSI.
Program ‘Rabu untuk Qalbu’ yang diperkenalkan oleh Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff ini telah memainkan peranan yang penting sebagai sebuah indikator bagi warga UPSI khususnya kakitangan dalam setiap jabatan untuk mengisi masa mereka dengan program berunsurkan kerohanian dan kekeluargaan pada setiap hari Rabu bermula dari jam 8 pagi hingga 12 tengahari.
Program yang diselia oleh Unit Produksi & Media Baru BKK mengambil masa empat jam ini telah menjadikan Proton City sebagai lokasi pilihan pada minggu ini dan disertai oleh 13 kakitangan dari semua unit di BKK dan tiga pelajar praktikal.
Pengalaman berjalan kaki lebih kurang satu kilometer melalui jalan hutan dan kelapa sawit sehingga ke destinasi yang membawa kepada tapak perkelahan sungai ini akan menjadi satu kenangan yang indah apabila semua kakitangan yang terlibat dapat berseronok dan bekerjasama dalam menjayakan program ini. Ditambah pula dengan kepuasan menikmati makanan yang disajikan dengan pemandangan yang indah dan udara yang segar telah melenyapkan rasa letih daripada perjalananan ke lokasi yang dituju.
Diakhir program ini, dapat dilihat bahawa semua kakitangan berpuas hati dengan aktiviti yang telah dijalankan.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa program sebegini sebenarnya bukan saja dapat mempromosikan budaya kemasyarakatan, tetapi ia juga berpotensi untuk menggalakkan usaha positif bagi menjana modal insan yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.
Program yang dijalankan ini sudah semestinya merapatkan lagi keutuhan dan keakraban kakitangan UPSI yang terlibat, malah berpeluang untuk menyediakan ruang dan peluang bagi menganjurkan lebih banyak aktiviti menarik sebagai medan untuk menjalinkan silaturrahim pada masa yang akan datang.