TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Perbadanan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sepakat untuk bekerjasama bagi membuka ruang sinergi demi kebaikan kedua-dua pihak.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, menganggap kerjasama itu penting dalam melahirkan mahasiswa universiti yang versatil dan berketerampilan sebelum melangkah keluar memasuki alam kerjaya dan pekerjaan.

“Industri kandungan kreatif hari ini dilihat mampu menjana pendapatan kepada graduan yang memanfaatkan bakat dan idea yang diperoleh mereka setiap hari,” katanya.

Beliau berkata, UPSI menyambut baik kerjasama ditawarkan oleh FINAS dan berharap mahasiswa UPSI yang kreatif perlu mengambil peluang menyertai Festival Filem dan Video Pelajar Malaysia (FFVPM) yang diadakan Ogos depan.DISYORKAN UNTUK ANDA

Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim bersama beberapa pegawai kanan perbadanan itu, bagi membincangkan kerjasama menjayakan program sempena sambutan Ulang Tahun Ke-100 UPSI pagi ini.

Hadir sama pada kunjungan hormat itu ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Prof Dr Marzita Puteh; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Pro Ts Dr Suriani Abu Bakar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Prof Madya Dr Norkhalid Salimin serta Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU).

Md Nasir berkata, FINAS sebagai peneraju industri kreatif negara, mempelawa UPSI bekerjasama menganjurkan FFVPM pada Ogos depan.

“FFVPM adalah inisiatif bagi menggalak dan menghargai bakat kreatif dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta terutamanya mereka yang terbabit dalam bidang kandungan kreatif.

“Kerjasama UPSI dan FINAS dalam penganjuran FFVPM ini bertujuan mencungkil bakat pelajar dalam dalam bidang kesenian, selain membina jalinan kerjasama dan pertukaran pandangan sesama pelajar universiti awam dan industri,” katanya.

Md Nasir berkata, FINAS memperuntukkan kos RM100,000 untuk tujuan penganjuran FFVPM, selain menawarkan dana Geran Penerbitan berjumlah RM100,000.

FFVPM menyaksikan hadiah kategori disediakan untuk beberapa kategori termasuk filem pendek terbaik, dokumentari, animasi, iklan terbaik, filem dan video eksperimen terbaik, skrip, kostum, sinematografi, muzik, grafik, klip videp terbaik, pengarah harapan, penyunting terbaik, penataan seni serta penataan bunyi terbaik.

Selain trofi kemenangan, pemenang setiap kategori akan membawa pulang hadiah wang tunai, Geran Dana Kandungan Digital serta sijil penyertaan. – BH

Baca lagi di: Harian Metro, Kosmo

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)