- oleh: Nurul Arifah Mohamad Hanizam (Pelajar Latihan Industri Bahagian Komunikasi Korporat)
- foto: Nurul Hasniza Mohd Rashid
Tanjung Malim 22 Mac 2022 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini telah menerima kunjungan hormat delegasi Bank Simpanan Nasional (BSN) Malaysia di Bangunan Canselori Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Perak hari ini.
Dalam pertemuan kira-kira 2 jam melibatkan Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff dan ahli jawatan kuasa pengurusan universiti UPSI antaranya Timbalan Naib Canselor (HEP & Alumni), Profesor Madya Dr. Norkhalid Salimin, Pengarah Komunikasi Korporat, Profesor Madya Dr. Izwan Shahril, Bendahari, Tuan Haji Najib, dan Pengarah WEZAS, Profesor Madya Dr. Mohd Abdul Nasir Bin Abd Latif.
Tujuan kunjungan ini adalah untuk mencari potensi dan manfaat berkaitan kewangan di antara pusat pengajian tinggi dan organisasi kewangan tersebut di sini.
Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, sebagai sebuah universiti pendidikan yang prihatin dan komited terhadap status dan kebajikan warganya, perbincangan ini akan dapat meringankan beban serta membantu golongan yang memerlukan melalui perkhidmatan dan pakej yang ditawarkan BSN.
“Perkongsian dan perbincangan yang dijalankan ini adalah sebuah inisiatif serta usaha bagi membantu dan memperluaskan lagi jaringan hubungan di antara UPSI dan BSN. Nasib pelajar lepasan ijazah juga tidak akan dilupakan dengan cadangan pinjaman peribadi yang akan ditawarkan bagi mengurangkan beban mereka selepas tamat pengajian di UPSI,” katanya pagi ini.
Ketua Jabatan Perbankan Runcit BSN, Puan Norainah binti Mohmad Zakuan yang turut sama hadir bersama wakil-wakil BSN yang lain berkata
“Saya amat yakin bahawa kerjasama ini dapat membantu pelajar atau kakitangan golongan B40 dan asnaf dengan memberikan sokongan yang akan melahirkan usahawan-usahawan yang ingin memulakan perniagaan atau meneruskan kelangsungan perniagaan. Projek universiti yang dijalankan juga dapat memberikan perlindungan takaful kepada pelajar serta 2 000 kakitangan UPSI yang terjejas akibat pandemik COVID-19. Kadar keuntungan yang dicaj kepada warga UPSI adalah rendah agar dapat meringankan beban dengan pakej menarik dan istimewa yang akan ditawarkan oleh pihak BSN,” jelasnya.
Dari sesi percambahan idea yang dilakukan ini, UPSI berhasrat agar hasil yang terbaik dapat dicapai bagi mengorak langkah yang mengacapkan kelangsungan bagi memperkukuhkan lagi kata sepakat yang memanfaatkan kedua-dua pihak terlibat.