Oleh Mary Victoria Dass (NSTP)
JOHOR BAHRU: Atlet kebangsaan, R Kirthana seperti diramal memenangi emas acara lompat kijang Kejohanan Olahraga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2022 Sirkit 1 di sini, selepas melakukan lompatan sejauh 12.96 meter (m).
Atlet Perak itu yang pernah melakukan lompatan terbaik sejauh 13.48m pada kejohanan G Kosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan pada 2017, menewaskan rakan sepasukan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Nurul Ashikin Abas (12.52m) dan Ng Yu Jie (11.31m).
Kirthana, 25, berkata, dia bersyukur atas kemenangannya itu dan akan berusaha lebih gigih bagi mencatat rekod lebih baik pada masa depan.
“Tidak sangka kami bertiga mampu menghadiahkan pingat buat UPM dengan mengatasi peserta daripada beberapa IPT lain. Saya akan berusaha dengan lebih gigih untuk mencatat keputusan lebih baik pada masa depan,” katanya.
Kirthana sebelum ini berazam untuk memecahkan rekod kebangsaan yang dicipta Noor Amirah Nafiah pada Kejohanan Terbuka Malaysia 2012 dengan lompatan sejauh 13.90 m.
Tempat keempat dimenangi Nur Syuhadah Junadi dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan lompatan 10.32m, diikuti Lim Hui Bing (9.05m) dari International Medical University (IMU) di kedudukan kelima manakala Nur Farah Hani Helme (8.52m) dari Majlis Sukan Kolej-Kolej Komuniti Malaysia (MASKOM) keenam. – BH