Oleh: Dr. Nurul Fadhilah Abdullah

TANJUNG MALIM, 11 Februari 2026 – Majlis Sukan Negara (MSN) dan Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan atlet dan sukan negara, khususnya menerusi pendidikan, penyelidikan serta perkhidmatan sains sukan.

Majlis menandatangani MoU ini telah berlangsung di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris bersempena Majlis Perasmian Kem Fasa 1 Program Latihan Atlet MSN yang disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari dan melambangkan komitmen bersama dalam memperkasa ekosistem sukan negara secara bersepadu melalui kolaborasi antara institusi akademik dan agensi sukan utama negara.

MoU ini memberi tumpuan kepada kerjasama dalam pelbagai aspek termasuk program pembangunan atlet, pengukuhan kapasiti modal insan, penyelidikan berimpak tinggi, serta pelaksanaan perkhidmatan sains sukan yang lebih komprehensif.

Menurut Dekan FSSK UPSI, Profesor Madya Dr. Jaffry bin Zakaria, kerjasama ini merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh sinergi akademik dan industri sukan negara.

“MoU ini bukan sahaja memperkukuh pembangunan prestasi atlet, malah menyokong agenda pendidikan dan pembangunan modal insan sukan negara secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Pengkomersialan) FSSK UPSI, Dr. Nurul Fadhilah binti Abdullah, menegaskan bahawa kerjasama ini akan memperkukuh ekosistem sukan negara melalui pendidikan dan pembangunan kompetensi profesional, yang memberi laluan fleksibel kepada atlet terpilih untuk menyambung pengajian tanpa menjejaskan komitmen latihan dan pertandingan.

“FSSK UPSI komited menyediakan peluang pendidikan kepada atlet dan warga MSN melalui laluan fleksibel termasuk program Malaysia Juara dan APEL Q, di samping menawarkan konsultasi serta perkhidmatan sains sukan yang menyeluruh,” katanya.

FSSK UPSI turut menawarkan pelbagai perkhidmatan profesional termasuk penilaian prestasi atlet, pemakanan sukan, rehabilitasi, psikologi sukan, pemantauan latihan, analisis sukan, serta penyelidikan.

MoU ini juga membuka ruang kepada pelaksanaan pelbagai program bersama pada masa hadapan termasuk penyelidikan strategik, pembangunan inovasi sukan, latihan profesional serta pengkomersialan hasil kepakaran yang dapat memperkukuh usaha MSN dalam melahirkan atlet berprestasi tinggi dan membina kapasiti tenaga kerja sukan negara secara sistematik.