HIDAYAH dan rakan-rakan yang berbakat dalam bidang seni lukis banyak terlibat dalam program melakar dan melukis mural di dalam dan luar kampus UPSI sebagai memenuhi tuntutan kerja kesukarelawanan.
MINAT Nurulhidayah Bahiyah Rahmat, 23, terhadap dunia seni bermula sejak kanak-kanak apabila sering menghabiskan masa melukis watak-watak rancangan animasi kegemaran.
Minat tersebut semakin bercambah dalam diri gadis berusia 23 tahun itu selepas melangkah ke sekolah menengah apabila berpeluang mempelajari subjek pendidikan seni secara formal.
Cinta mendalam gadis yang mesra disapa Hidayah itu terhadap dunia seni juga mempengaruhi jurusan dipilihnya ketika melanjutkan pengajian ke menara gading.
Hidayah memilih menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Pendidikan (Seni) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.
“Saya minat melukis sejak kecil. Ketika itu, saya banyak melukis watak-watak animasi. Apabila masuk sekolah menengah, baru saya belajar melukis dan mewarna secara lebih serius.
“Lama-lama saya jadi minat sehingga memilih menyambung pengajian dalam jurusan seni. Pada masa sama, saya juga seorang yang suka berkongsi ilmu dengan orang lain.
“Jadi sebab itu, saya pilih menyambung pengajian dalam jurusan Pendidikan (Seni) di universiti ini,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.
Sepanjang di kampus, gadis berasal dari Keningau, Sabah itu banyak terlibat dalam aktiviti anjuran Persatuan Seni Visual UPSI dan Service Learning Malaysia-University for Society (Sulam).
Menurut Hidayah, dia banyak menghabiskan masa terluang di kampus dengan menyertai aktiviti kesukarelawanan yang mempunyai kaitan langsung dengan minatnya iaitu bidang seni.
Tegasnya, dia sering menyertai program kesukarelawanan menghasilkan mural sama ada bersaiz kecil sehinggalah besar di dalam mahu pun luar kampus.
“Sebelum ini, di bawah Persatuan Seni Visual, saya terlibat menghasilkan mural di kampus lama UPSI. Menerusi Sulam pula, saya banyak terlibat menghasilkan mural di luar kampus.
“Saya bersama kumpulan mahasiswa di dalam Sulam pernah diberi tanggungjawab menghasilkan mural di sebuah tabika yang terletak di Ulu Bernam (Selangor) dan sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang.
“Biasanya, pihak penganjur program akan memberi tanggungjawab untuk melakar dan melukis mural pada dinding kepada saya. Ia merupakan kelebihan dan kebolehan utama saya,” terangnya lagi.
Mengulas mengenai projek terbaharu, Hidayah memaklumkan, dia bersama 20 mahasiswa lain sedang bertungkus-lumus mengecat 100 buah kerusi kayu di Studio Seni UPSI.
Jelasnya, program anjuran Sulam itu merupakan sebahagian daripada usaha mahasiswa menabur bakti kepada masyarakat di Perak terutamanya di sekitar Tanjung Malim dan Taiping.
“Saya bersama rakan-rakan sibuk melakar dan mewarna lukisan abstrak pada 100 kerusi kayu.
“Kerusi-kerusi ini akan diletakkan di kawasan tumpuan masyarakat bagi mengindahkan bandar Tanjung Malim dan Taiping.
“Saya sangat teruja dapat menyertai program ini kerana boleh mengasah bakat dalam seni, selain mengeratkan hubungan yang sedia terjalin antara mahasiswa,” tegasnya.
Meskipun sibuk dengan aktiviti kesukarelawanan di dalam mahu pun luar kampus, namun Hidayah sama sekali tidak melupakan tanggungjawab sebagai mahasiswa di UPSI.
Terangnya, pembelajaran secara online ketika ini sedikit sebanyak memudahkannya menyertai aktiviti itu tanpa mengabaikan kuliah dan tugas diberikan pensyarah.
“Memandangkan kes Covid-19 masih tinggi ketika ini, kuliah dilangsungkan secara online. Jadi, saya boleh merakam video kuliah apabila sibuk dengan kerja-kerja kesukarelawanan.
“Jika ada masa lapang, saya tengok balik video kuliah berkenaan. Lagi pun kawan-kawan dan pensyarah juga banyak membantu agar tidak terlupa setiap tugasan diberikan,” ujarnya.
Bercerita mengenai masa depan, anak kedua daripada tiga beradik itu berhasrat untuk menjadi seorang pendidik, namun pada masa sama ingin melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana.