• oleh: Mohd Zaiham Izwan Zainudin (Penolong Pendaftar Kanan, UCTC)

CHEMOR – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tampil membantu penduduk di kawasan Kampung Seri Chepor, Chemor yang terjejas akibat banjir dengan menggerakkan ResQ Team UPSI untuk membantu kerja-kerja pembersihan pasca banjir.

Pasukan ResQ Team UPSI diketuai oleh Timbalan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof. Madya Dr. Muhammad Aqil Aryan Wong dalam misi bantuan pasca banjir di Kampung Chepor, Chemor, Perak.

Misi bantuan ini melibatkan 48 orang sukarelawan yang terdiri daripada seorang pensyarah, tujuh orang staf UPSI, 25 pelajar sukarelawan ResQ Team UPSI dan 15 Kadet Kor SISPA UPSI dengan menggunakan dua buah kenderaan pacuan empat roda, sebuah lori dan dua buah bas dari Unit Pengangkutan UPSI untuk membawa sukarelawan dan peralatan dalam misi bantuan banjir ini.

Sebanyak enam buah rumah telah dibersihkan atas bantuan secara bergotong-royong oleh sukarelawan ResQ Team UPSI. Misi ini bertujuan untuk meringankan beban mangsa banjir dalam proses membersihkan kawasan rumah selepas banjir dengan menyalurkan khidmat tenaga dalam proses pembersihan.

Pasukan ResQ Team UPSI sentiasa prihatin dan bersiapsiaga sepanjang masa untuk membantu mangsa banjir yang terjejas. Tindakan yang dilakukan ini adalah atas dasar kemanusiaan dan semangat kesukarelawanan dalam membantu masyarakat yang ditimpa musibah banjir.

Encik Azarisman bin Ismail, wakil penduduk Kampung Seri Chepor, Chemor mengucapkan jutaan terima kasih kepada UPSI dan peserta misi atas bantuan dan komitmen yang tinggi dalam menjayakan misi ini.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my