- oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail
- foto: Fisol Ahmad
Tanjung Malim – Seramai 425 pelajar baru Ijazah Sarjana Muda Universiti Pendidikan Idris (UPSI) ambilan Mac 2022 baru-baru ini menyertai majlis ikrar pelajar yang berlangsung mengikut pematuhan SOP di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah di sini.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff semasa ucapan aluannya turut menyampaikan agenda penerapan budaya ‘BAIKK’ iaitu pengukuhan jatidiri pelajar di UPSI meliputi lima aspek utama seperti (B) Bangga UPSI, (A) Adab, (I) Ilmu serta (K) Kreativiti dan Inovasi.
“Penubuhan UPSI bermula atas kebijaksanaan dan keprihatinan Raja-raja Melayu ketika zaman pra kemerdekaan terhadap kesedaran dan kepentingan pendidikan kepada anak bangsa sehingga melahirkan ramai tokoh-tokoh cendekiawan dan pemimpin nasionalis.
“Melalui penerapan ‘Bangga UPSI’ memberi penekanan bahawa dengan legasi yang tersedia ada di pusat pengajian pendidikan terulung ini, kita mahu pelajar berasa bangga dengan pencapaian dan nikmat kemudahan yang diusahakan universiti sebagai institusi yang dihormati dan disegani,” jelasnya.
Selain itu, UPSI menekankan ketinggian akhlak atau ‘Adab’ sebagai kunci utama kepada kejayaan seseorang mahasiswa yang berketrampilan.
“Apalah guna jika seseorang mahasiswa memperoleh keputusan akademik yang cemerlang serta memenangi pelbagai acara berprestij waima sukan olimpik sekalipun tetapi itu semua tidak bermakna jika mahasiswa UPSI tidak mempunyai adab dan pekerti tinggi, seiring dengan kejayaan yang dikecapinya,” tambahnya lagi.
Selain ‘Bangga UPSI’ dan ‘Adab’, Md Amin turut menerapkan ‘Ilmu’ dan ‘Keluarga’ sebagai aspek penting semasa berada dalam kampus dengan pengayaan ilmu dalam segala segi, baik dalam bilik kuliah mahupun kolej.
Penerapan kekeluargaan pula amat penting kalangan pelajar-pelajar UPSI bagi mewujudkan sifat kasih-sayang serta belas ihsan sesama warganya sungguhpun berlainan latar belakang serta fahaman agama demi mewujudkan suasana harmoni dalam kampus selain mengenang perjuangan ibubapa dan keluarga.
“Ada di antara ibubapa para pelajar telah bergolok-gadai demi memastikan anak-anak mendapatkan pendidikan yang sewajarnya apatah lagi dengan pelbagai jenis biaya termasuklah yuran, tambang perjalanan, makan pakai semata-mata mahu melihat anak-anak tercinta memperoleh kejayaan.”
“Jadikanlah nilai kekeluargaan sebagai amalan dalam universiti dan hayatilah perjuangan kedua ibu bapa yang bertungkus lumus untuk keberadaan kita di sini,” tambahnya lagi.
Bukan itu sahaja, Md Amin turut menuntut para pelajar untuk membudayakan ‘Kreativiti dan Inovasi’ sebagai salah satu aspek penting kemenjadian mahasiswa yang lebih holistik dengan melihat masalah kepada peluang untuk selesaikan dengan lebih kreatif dan inovatif.
“Jangan melihat masalah atau isu hanya sekadar masalah, sebaliknya lihatlah bagaimanakah cara menyelesaikannya menerusi kaedah inovasi kerana apabila bergraduat kelak, majikan akan memilih para pekerja yang mempunyai nilai penting ini,” jelasnya lanjut.
Selain penerapan budaya BAIKK, Md Amin turut menyatakan para pelajar yang mendaftar sesi juga merupakan mahasiswa yang bertuah kerana menjadi saksi kepada sambutan 100 tahun penubuhan institusi keramat pada November ini yang dibina atas nama Sultan Idris Teaching College yang dibuka pada 29 November 1922 sehinggalah dinaiktaraf sebagai sebuah universiti pada tahun 1997.
Majlis ikrar yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) UPSI, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Rakan Suai Kenal (RSK) turut dihadiri ahli-ahli jawatankuasa tertinggi universiti, dekan-dekan fakulti, ketua pusat tanggungjawab, pensyarah dan warga UPSI.