KUALA LUMPUR: Pelajar baharu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disaran mengamalkan budaya Bangga (B), Adab (A), Ilmu (I), Keluarga (K) dan Kreativiti dan Inovasi (K) atau BAIKK bagi memantapkan penampilan
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata budaya BAIKK itu perlu difahami dan dihayati untuk mencorakkan personaliti pelajar supaya cemerlang, bukan sahaja dalam akademik malah sahsiah.
Beliau berkata, pelajar perlu aktif berkreatif dan inovatif bagi memanfaatkan pembelajaran bersama akademia UPSI, yang kebanyakan adalah pakar dalam program pengajian.
“Dalam mengharungi cabaran kerjaya masa kini, pelajar perlu memiliki nilai murni seperti berasa bangga menjadi pelajar UPSI supaya dapat mencipta kecemerlangan diri sebelum bergraduat,” katanya ketika berucap pada majlis ikrar pelajar baharu pengambilan Mac sesi 2021/2022 di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, di Proton City.
Prof Md Amin, berkata, pelajar juga tidak harus melupakan harapan keluarga, yang mana ia akan mendorong pelajar untuk tekun dalam mengajar ilmu di universiti.
Seramai 665 pelajar terbabit dalam pengambilan sesi kali ini, merangkumi tujuh fakulti iaitu Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan, Fakulti Sains Kemanusiaan, Fakulti Sains dan Matematik, Fakulti Pembangunan Manusia, Fakulti Teknikal dan Vokasional, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan serta Fakulti Pengurusan dan Ekonomi.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bimbingan Kaunseling dari Fakulti Pembangunan Manusia , Andi Hussaini Mapanyukri, mewakili pelajar baharu membaca ikrar di hadapan pengurusan tertinggi universiti. – BH
Baca juga di: Sinar Bestari