Menyedari kepentingan tanggungjawab sosial korporat mampu membantu melestarikan hubungan universiti dan masyarakat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengalu-alukan sebarang kerjasama melibatkan syarikat korporat yang sudi menaja juadah berbuka kepada warga kampus.
Pusat Alumni UPSI menerima tajaan makanan berbuka puasa daripada syarikat kosmetik Avenys Malaysia Sdn. Bhd. dengan memperuntukkan sebanyak 100 bungkus makanan setiap hari bermula 6 April hingga 30 April 2022 kepada seluruh warga pelajar UPSI.
Menurut Pengarah Pusat Alumni UPSI, Dr Siti Hartini Azmi, Pusat Alumni amat berbesar hati menerima tajaan juadah berbuka puasa untuk para mahasiswa UPSI dan menyifatkan kerjasama strategik sebegini sedikit sebanyak membantu kelompok pelajar yang rata-ratanya terdiri daripada golongan keluarga B40.
“Terima kasih kepada pihak Avenys Malaysia yang sudi memberi sumbangan makanan berbuka puasa kepada pelajar UPSI sepanjang bulan Ramadan. Pusat Alumni amat mengalu-alukan sebarang kerjasama yang boleh memberikan manfaat buat para pelajar dan juga alumni pusat pengajian bertuah ini,” jelasnya semasa sesi serahan makanan di Kampus Sultan Azlan Shah.
Turut hadir, pengasas syarikat Avenys Malaysia Sdn Bhd Aleeya Zailan berkata, sumbangan makanan yang diserahkan kepada para pelajar kolej merupakan hasil dana jualan terkumpul daripada produk jualan syarikatnya serta hasil sumbangan daripada pengikut akaun media sosial yang terdiri daripada ejen serta stokis produk keluarannya.
Pusat Alumni UPSI mengalu-alukan sebarang kerjasama sosial korporat dan boleh menghubungi Pegawai Pusat Alumni UPSI Muhammad Zafir Mohd Saman di talian 0137899337.
Sumber: Utusan TV https://utusantv.com/