TANJUNG MALIM: Masalah penguasaan murid dalam pelajaran boleh diatasi dengan menggunakan Modul 3M (Membaca, Menulis, Mengira) yang dibangunkan oleh penyelidik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata UPSI memiliki ramai tenaga pakar dalam pedagogi yang boleh membantu memajukan sistem pendidikan di sekolah seluruh negara.
“UPSI menubuhkan Pusat Pedagogi, Penyelidikan dan Inovasi (CPRI) yang bakal menjadi rujukan sektor pendidikan terutamanya dalam hal pembangunan pedagogi di negara ini.
“Modul 3M yang dibangunkan UPSI yang bertujuan mengatasi masalah pembelajaran murid orang Asli ini berpotensi dikembangkan kepada semua murid di seluruh negara yang menghadapi masalah pembelajaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr. Norkhalid Salimin ketika berucap pada majlis menyerahkan set keperluan persekolahan kepada 83 murid orang Asli di Sekolah Menengah Kebangsaan Bawong, Sungai Siput, Perak menganggap modul itu efisien meningkatkan penguasaan 3 M.
Beliau berkata modul itu wujudkan menerusi projek Empower Encer Academic @ Perak yang siri pertamanya membabitkan seramai 300 orang murid di lima buah sekolah di sekitar Batang Padang, Kuala Kangsar, dan Hulu Perak.
“Projek Empower Encer Academic @ Perak, katanya, dibiayai sepenuhnya oleh Northern Corridor Implementation Authority (NCIA) sejak tahun 2020.
“UPSI bersedia untuk membantu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kemajuan Hal Ehwal Orang Asli (JAKOA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) serta lain-lain agensi dalam memartabakan pendidikan negara,” katanya.
Hadir sama Penolong Kanan Pentadbiran, SMK Bawong, Azahari Anor Basah.
Katanya, modul itu menerapkan kaedah pembelajaran berasaskan aktiviti muzik, semak bergandingan (berpasangan bersama rakan) serta berasaskan kendiri.
“Ia juga diterapkan elemen pendigitalan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, dan penerapan pendidikan keinsanan dalam modul 3M yang merangkumi aspek Inovasi, Menghargai, Prihatin, Adab, Kasih sayang (IMPAK),” katanya.
Sumber: Suara Merdeka https://suaramerdeka.com.my/