• oleh: Muhammad Fatkhurrozak Sokhipul Hadi Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Khas) UPSI

TANJONG MALIM, 13 April – Universiti Pendidikan Sultan Idris telah menganjurkan Siri Webinar Pendekatan Intervensi Pasukan Multidisiplin untuk Autisme sempena Bulan Kesedaran Autisme 2022. Siri webinar ini dianjurkan oleh Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) dengan gabungan kerjasama diantara Jabatan Pendidikan Khas, Unit Perkhidmatan Terapi, FPM dan Persatuan Mahasiswa Program Pendidikan Khas. Majlis perasmiannya diadakan pada 13 April 2022 melalui Facebook Live Unit Perkhidmatan Terapi.

     Majlis perasmian diserikan dengan kehadiran Dato’ Megat Ahmad Shahrani Megat Shahrudin, Presiden Persatuan Autisme Malaysia (NASOM). Menurutnya, program sebegini mampu membuka mata masyarakat mengenai autisme. Turut hadir merasmikan adalah Dekan FPM, Prof Madya Dr Abdul Talib Mohamed Hashim. Beliau menyatakan FPM, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan sentiasa menjadi platform untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat untuk memahami tentang autisme.

     “Besar harapan saya agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa yang akan datang agar masyarakat lebih cakna dan peka terhadap individu autisme di sekitar kita.” Katanya.

      Terdapat enam siri webinar dianjurkan yang melibatkan perkongsian daripada pakar-pakar berkaitan autisme. Bagi siri pertama, tajuk yang diperbincangkan adalah Intervensi Video Modelling untuk Anak Autisme dan Sokongan Penglibatan Sosial kepada Remaja Autisme di Sekolah yang dibawa oleh Dr Hasrol Hosshan dan Dr Nurbieta Abd Aziz. Siri webinar yang seterusnya akan dijalankan sepanjang bulan April 2022. Antara pakar yang terlibat adalah Dr Noraini Abdullah, Dr Nur Ilya Dayana Shamsudin, En. Muhammad Nuriman Saidin, Dr Grace Annammal Gnana Piragasam, Dr Farhana Diana dan Cik Siti Nor Rokiah.

        Sepanjang majlis perasmian dan webinar siri pertama, tontonan di facebook sudah mencapai 2500 tontonan lebih dan 402 on views dikumpulkan sepanjang program berlangsung. Ini membuktikan bahawa siri webinar ini memberikan impak yang besar terhadap masyarakat untuk lebih terbuka dalam memahami autisme secara menyeluruh. Penglibatan mahasiswa dalam pengajuran siri webinar ini jelas menunjukkan mahasiswa UPSI mampu memberi sumbangan besar dan curah bakti ke dalam komuniti masyarakat. Kempen Semarak Biru akan diteruskan bagi menyokong Bulan Kesedaran Austisme 2022.

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)